KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan syabas buat jaguh trek negara Datuk Muhammad Azizulhasni Awang yang menghadiahkan pingat perak buat negara hari ini.

Pingat tersebut, dimenangi menerusi acara keirin di Velodrom Izu Tokyo, merupakan yang kedua diperoleh Malaysia pada Olimpik 2020, selepas pingat gangsa diperoleh beregu badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 31 Julai lalu.

Dalam entri terbaharu di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi, Muhyiddin berkata, aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan Azizulhasni membanggakan Malaysia di pentas dunia.

"Syabas The Pocket Rocketman.

"Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

"Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

"Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan," tulis Muhyiddin.

Katanya lagi, seluruh rakyat Malaysia bangga dengan aksi ditonjolkan jaguh trek dari Dungun, Terengganu, yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu.


BACA: "Saya harap tiada yang kecewa dengan keputusan ini" - Azizulhasni Awang

Pada masa sama, Muhyiddin menzahirkan rasa sayu menyaksikan tangisan Azizulhasni selepas mendapat tempat kedua di belakang pelumba Great Britain, Jason Kenny, sebentar tadi.

"Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.

"Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara," katanya.

Olimpik Tokyo 2020 | Azizulhasni Awang hadiahkan perak buat negara

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seorang lagi jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

"Kepada Shah Firdaus, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

"Iltizam dan semangat 'Demi Malaysia' yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus.

"Tahniah Azizulhasni dan Syabas Shah Firdaus!," katanya. 

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin

BACA: Tokyo 2020: "Perak untuk Malaysia, terima kasih Jijoe!" - Reezal Merican

BACA: Azizulhasni wira, Shah Firdaus juga kebanggaan negara

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni menerusi ciapan di Twitternya.

"Tahniah kepada Azizulhasni kerana berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

"You did your best!," katanya.