ALOR SETAR: Semua keperluan yang menjadi syarat untuk membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) telah hampir dipenuhi dan diharap dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan untuk direalisasikan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur luar terhadap Kedah juga sangat memberangsangkan pada masa ini.

Beliau berkata terbaharu, Kedah telah menjalin kerjasama dengan pelabur Itali iaitu Enav Group, syarikat yang memfokus kepada penyediaan layanan navigasi dan pengurusan lalu lintas udara.

"Saya telah ke Itali baru-baru ini untuk melihat kecanggihan teknologi yang ditawarkan syarikat berkenaan dan saya rasa ia akan menjadi teknologi masa hadapan yang boleh diguna pakai dalam industri penerbangan.

"Selain itu, mereka turut menyediakan latihan, pemindahan teknologi dan peralatan terkini yang mampu merealisasikan KXP. Kerjasama itu juga bertujuan untuk kebolehlaksanaan teknologi menara digital bagi diaplikasikan oleh kita nanti," katanya selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi sekali lagi menekankan bahawa projek KXP itu, yang merupakan projek berimpak tinggi akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA