GEORGE TOWN: Sebuah syarikat bersama empat pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 94 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM20.3 juta antara Jan 2019 hingga Dis 2022.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Adam berkata Syarikat Quinton Group Sdn Bhd bersama empat pengarahnya iaitu Tan Kwong Yeow, 35, Ooi Chuen Chie, 35, Lim Shing Yee, 31, dan Seow Ming Cjoy, 32, dihadapkan ke mahkamah pada 18 Okt lepas.

Azman dalam kenyataan hari ini berkata kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid yang kemudiannya menetapkan 1 Dis bagi sebutan semula kes.

"Kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang yang disyaki merupakan hasil pengubahan wang haram berjumlah RM2.08 juta daripada sebuah akaun semasa, milik Quinton Group Sdn Bhd bagi tempoh tahun 2019 sehingga 2022.

"Kesemua pengarah syarikat itu turut dituduh kerana telah menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM168,681 untuk memperoleh lapan kenderaan mewah sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azman berkata mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,748,000 dengan dua kali pembayaran iaitu RM80,000 setiap seorang pada tarikh pertuduhan manakala selebihnya pada 23 Okt dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

"Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan kepada semua tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi dalam apa jua cara," katanya.

-- BERNAMA