KUCHING: Pemain industri di Amerika Syarikat (AS) sedang memberi perhatian ke Sarawak sebagai pendatang baharu yang progresif dalam industri tenaga hijau di peringkat global.

Kuasa Usaha Kedutaan AS, Michael Newbill berkata, pihaknya giat mempromosi dan mengadakan perbincangan bersama syarikat-syarikat di negara itu yang berminat untuk melabur bagi tujuan penyelidikan tenaga hijau atau hidrogen di Sarawak.

Menurutnya, pemerkasaan agenda pembangunan ekonomi hijau di Sarawak dilihat akan berjaya menghasilkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran atau pakar yang mampu memberi pulangan lumayan kepada rakyat tempatan di negeri itu.

“Ini juga termasuk membincangkan kerjasama operasi bersama PETROS dan PETRONAS serta beberapa syarikat di Sarawak yang membangunkan sumber tenaga hijau yang serupa, dan kita harap usaha ini akan membuahkan hasil dalam tahun-tahun mendatang.

"Penjanaan tenaga hidro dan sumber tenaga hijau yang luas di Sarawak adalah elemen yang mampu menarik pelaburan asing daripada AS kerana banyak syarikat di negara ini mempunyai sasaran penyahkarbonan di dalam pelan perniagaan mereka,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI.

Menyentuh soal pengurusan sumber kewangan Newbill yakin, langkah Sarawak memaksimumkan jana kuasa ekonomi melalui ekonomi hijau untuk dana kewangan berdaulat negeri itu akan menampakkan impak yang positif.

Sarawak katanya berhasil memanipulasi kekayaan sumber semulajadinya secara strategik sebagai sumber ekonomi baharu yang digerakkan melalui Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Sarawak kini dilihat bergerak ke arah dua sumber ekonomi semulajadi yang mapan khasnya sumber asli seperti minyak dan gas dan kini melalui tenaga hijau yang mana setiap keuntungan dan royalti daripadanya dapat disalurkan sebagai sumber pembangunan di negeri ini.

“Bekalan tenaga boleh diperbaharui, tenaga hijau dan tenaga asli yang sangat banyak di Sarawak secara jelas akan menjadi sasaran utama ekonomi dunia bukan sahaja kepada syarikat di AS tetapi kepada penggiat industri di seluruh dunia,” ujarnya.

Sarawak kini telah menjalinkan kerjasama dengan negara Korea Selatan bagi membangunkan sebuah pelantar tenaga hijau hidrogen dan ammonia yang mesra alam sekitar di Bintulu.

Fasiliti tersebut mampu menghasilkan lebih 1.4 juta tan tenaga kimia pelbagai kategori dan hidrogen khasnya untuk penggunaan di peringkat domestik serta dieksport ke luar negara.