Hukuman FIFA kepada tujuh pemain warisan 'bermotif politik' - TMJ

Tunku Mahkota Ismail mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang berhubung kes berkaitan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ringkasan AI
- Tunku Mahkota Ismail menegaskan FIFA tidak menggunakan undang-undang sepenuhnya dalam kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
 - Beliau menyatakan hukuman yang dikenakan kelihatan lebih politik berbanding berdasarkan undang-undang sebenar, dan menyokong perjuangan pemain yang akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
 - Sebelum ini, FIFA memutuskan FAM dan tujuh pemain melanggar artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen, dengan FAM dikenakan denda dan pemain dikenakan denda serta digantung daripada aktiviti bola sepak.
 
"Mengikut Artikel 22 dalam kod FIFA, hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan.
"Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.
"Ada memilih untuk menuding jari, ada memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)," titah baginda dalam satu kenyataan media sosial pada Selasa.
Pada Isnin, FIFA memaklumkan akan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan serta penipuan dokumen.
Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA.
Tujuh pemain terbabit masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Menurut FIFA, keputusan itu dibuat selepas meneliti dokumen rayuan dan mengadakan sesi pendengaran sebelum memutuskan untuk menolak semua rayuan yang dikemukakan.
Jelas FIFA, kesemua mereka mempunyai tempoh sepuluh hari untuk meminta keputusan bertulis yang disertakan alasan, dan selepas pemberitahuan berkenaan, pihak terbabit mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


