NATIONAL
“Syarikat lama enggan keluar antara punca Menara KL ditutup sementara” - Fahmi

Syarikat baharu akan mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur dan menyerap semula 193 pekerja dengan syarat gaji dan faedah yang sama. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan memasuki premis Menara Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu dibuat selepas syarikat pengendali lama enggan mengosongkan premis walaupun konsesi mereka telah tamat.
Ringkasan AI
- Pesuruhjaya Tanah Persekutuan memasuki premis Menara Kuala Lumpur kerana syarikat pengendali lama enggan mengosongkan premis walaupun konsesi telah tamat.
- Syarikat baharu akan mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur dan menyerap semula 193 pekerja dengan syarat gaji dan faedah yang sama.
- Menara Kuala Lumpur akan ditutup sementara untuk kerja penyelenggaraan oleh pengurusan baharu.
Namun, berikutan keengganan syarikat lama mengundurkan diri, tindakan undang-undang terpaksa diambil.
“Atas sebab-sebab tertentu, ada yang sudah dilaporkan media, ada yang belum, jadi saya mahu beritahu, syarikat lama enggan keluar walaupun konsesi mereka tamat 31 Mac lalu.
“Maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara untuk memasuki premis Menara KL pada jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis.
Beliau menambah, tindakan itu bertujuan memudahkan proses pengambilalihan oleh syarikat konsesi baharu iaitu LSH Service Masters Sdn Bhd serta memastikan fasiliti berada pada tahap terbaik.
Fahmi turut memaklumkan, hasil pemeriksaan oleh pegawai Kementerian Komunikasi mendapati, keadaan Menara KL tidak lagi sesuai dan selamat untuk pengunjung.
“Kita lihat sendiri gambar dan video, banyak pekakas di dapur dan kawasan menara berputar yang dulunya ada restoran, tidak dalam keadaan baik. Malah, ada railing di dek pemerhati yang sudah diturunkan. Ini membimbangkan,” jelasnya.
Mengulas mengenai nasib pekerja syarikat lama, Fahmi berkata kesemua 205 pekerja syarikat konsesi lama iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) telah ditamatkan perkhidmatan pada 31 Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, syarikat baharu bersetuju untuk menyerap semula 193 orang pekerja dengan syarat gaji dan faedah tidak kurang daripada apa yang diterima sebelum ini.
“Ramai daripada mereka telah berkhidmat 17 hingga 20 tahun. Mereka arif dengan operasi dan pengetahuan mengenai bangunan itu. Jadi, kita minta syarikat baharu ambil mereka semula dan syarikat bersetuju,” katanya.
Fahmi turut menjelaskan, kementeriannya telah dimaklumkan tentang penyerapan itu dan berharap proses berkenaan berjalan lancar.
“Kita tunggu maklum balas daripada mereka untuk tahu tempoh yang diperlukan. Bila semuanya selesai, kita akan umum tarikh pembukaan semula Menara KL,” tambahnya.
Fahmi turut menegaskan, pemilikan Menara Kuala Lumpur kekal di bawah Kerajaan Malaysia dan kini ia diletakkan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi sepenuhnya.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja penyelenggaraan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami