ALOR SETAR: Mahkamah Majistret Alor Setar memerintahkan sebuah syarikat pengendali pakej umrah membayar denda sebanyak RM80,300 kerana gagal mematuhi 26 'award' (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.

Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Massnizam Group Travel and Tours Sdn Bhd apabila pengarahnya, Mohd Nizam Noh, 50, mengaku bersalah terhadap semua 26 pertuduhan dihadapi syarikat tersebut dalam prosiding yang berlangsung selama dua hari.

Menerusi prosiding berlangsung semalam, syarikat itu terlebih dulu didenda sebanyak RM3,000 untuk setiap satu daripada keseluruhan 13 kes dihadapkan terhadapnya.

Manakala untuk hari ini, syarikat tersebut didenda RM3,000 bagi setiap satu dari 10 kes dihadapi serta RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan terhadapnya.

Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat tersebut.

Mohd Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang, atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 'award' dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.

Menerusi 'award' dikeluarkan TTPM itu, syarikat tersebut diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun hingga kini, bayaran tersebut langsung tidak disempurnakan.

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd Hilmi Abu Hassan mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 manakala syarikat tersebut tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, Mohd Nizam yang hadir ke mahkamah dengan diiringi pegawai penjara merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Selain itu sekiranya dihukum penjara, dia memohon agar terus ditempatkan di Penjara Kluang kerana sedang menjalani kelas tahfiz di situ, bagi 'membetulkan' dirinya.

Pihak pendakwaan yang bangun selepas itu kemudiannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, dengan mengambil kira kepentingan awam dalam kes tersebut.