MELBOURNE : Syarikat-syarikat Australia telah memohon keizinan kepada Malaysia untuk meneruskan pelaburan sebanyak RM24.5 bilion. 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasrat berkenaan telah dinyatakan kepadanya dalam pertemuan beliau dengan syarikat terbabit pada Selasa. 

Antara pelaburan besar berpotensi adalah oleh AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC (RM3 bilion).

“Kita dapat mengadakan pertemuan dengan pengurus utama 20 syarikat besar termasuk 18 syarikat dan beberapa pengimport utama serta pelabur, jumlah keseluruhan yang telah memohon keizinan untuk teruskan pelaburan iaitu RM24.5 bilion.

“Ini satu kemajuan yang membanggakan dan menunjukkan minat Australia dan keyakinan mereka kepada dasar yang telah kita umumkan selama ini. Ini akan diberi ruang permulaan 1,200 tenaga mahir di Malaysia,” katanya pada sidang media hari kedua lawatan beliau ke Australia pada Selasa. 

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Selain AirTrunk dan NextDC yang kedua-duanya adalah syarikat pengendali pusat data, syarikat lain yang telah menzahirkan komitmen untuk melabur ialah Lynas (bahan kimia) sebanyak RM1 bilion,  Fortescue (tenaga boleh diperbaharui), Macquarie Group (perkhidmatan kewangan) dan Arnott’s Group (teknologi makanan).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dari segi perdagangan, kunjungan ke Australia ini juga berjaya menjana potensi jualan eksport Malaysia sebanyak RM962.1 juta, termasuk urea, produk kayu, makanan dan minuman serta komponen elektrik.

“Ini selari dengan pelan perindustrian kita dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR). Jadi saya bersyukur dengan kejayaan yang berhasil dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); dan Kementerian Luar.

“Kerjasama ini menunjukkan sekiranya kita menumpukan perhatian untuk menggagaskan pelaburan dan tingkatkan pelaburan, kita dapat kemajuan yang boleh kita banggakan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata kunjungan ke Australia ini bukan hanya mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia oleh kedua-dua Perdana Menteri, malah memberi kejelasan kepada beberapa perkara yang belum pasti sebelum ini.

“Ini khususnya usaha untuk menjadikan Australia sebagai negara yang boleh beri kerjasama dalam peralihan tenaga dan transformasi digital, kerana mereka ada kepakaran. Perdana Menteri banyak pandangan yang kukuh bagi pihak negara kita dan ASEAN khususnya berkenaan dengan pendiran Malaysia dan ASEAN dalam penegasan kita terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.

“Australia memandang ASEAN sebagai pintu gerbang negara itu kepada dunia, mereka melihat ASEAN dahulu sebelum dunia lain, ASEAN satu rantau yang amat penting dan Australia mahu menegaskan kepada Perdana Menteri bahawa hubungan lebih akrab antara rakyat dan negara.

“Semalam, Australia telah umum A$2 bilion bantuan kepada ASEAN dan telah beri kelonggaran kepada ahli perniagaan yang kerap ke negara itu mendapat visa selama 10 tahun dan ini memudahkan perjalanan kedua-dua negara bagi mereka yang menjalankan perniagaan,” katanya lagi.