SHAH ALAM:Peserta program realiti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, yang didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di  Mahkamah Petaling Jaya hari ini, berdepan satu lagi pertuduhan merogol seorang wanita di Mahkamah  Sesyen di sini.

Syed Shah Iqmal, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun itu di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira 11.35 malam, pada 11 Sept tahun lepas, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan ia akan menimbulkan persepsi kurang senang dalam  kalangan  orang awam jika tertuduh dibebaskan kerana beliau merupakan seorang figura awam yang dikenali.

"Tertuduh juga mempunyai beberapa kes lain, selain dikhuatiri akan mengganggu mangsa dan saksi serta boleh mengganggu kualiti kelancaran dan keterangan mereka di mahkamah jika dibenarkan ikat jamin," katanya.

Nor Baizura berkata sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai. 

Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal bagaimanapun berkata walaupun kes ini tidak boleh dijamin, mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.

"Tertuduh memberi kerjasama yang baik ketika disoal siasat polis malah beliau hadir sebanyak dua kali tanpa bantahan ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam sebelum ditahan. Dia juga menjadi pemandu arah rumahnya di Damansara kepada pihak polis untuk siasatan forensik berhubung kes yang dihadapinya,” kata peguam itu.

Syed Amirul berkata sekiranya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin, pihaknya memohon jumlah jaminan minimum berikutan tertuduh tidak mempunyai pendapatan sejak pandemik COVID-19 di samping perlu menjaga ibu dan abangnya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) selepas terlibat dalam kemalangan.

Menurut Syed Amirul, isu tertuduh mengganggu mangsa juga tidak relevan untuk dibangkitkan pihak pendakwaan kerana dua telefon bimbitnya sudah dirampas oleh pihak polis.

"Jaminan yang diberikan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan bertujuan untuk menghukumnya. Wang jaminan di Mahkamah Petaling Jaya juga masih belum dilangsaikan kerana anak guam saya tidak mempunyai wang yang mencukupi. Diharap mahkamah dapat memberikan jumlah jaminan yang rendah,” katanya. 

Hakim Rofiah Mohamad kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai serta menetapkan 25 Jan tahun depan untuk sebutan kes.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Syed Amirul berkata anak guamnya akan ditahan sementara di lokap polis di Beranang, Hulu Langat sehingga proses ikat jamin selesai pada Selasa depan.

Terdahulu, tertuduh yang merupakan bekas peserta program realiti agama itu tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 3.01 petang sempat bertanya khabar kepada media yang hadir membuat liputan kes yang dihadapinya.

Syed Shah Iqmal turut dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan mencabul kehormatan seorang penuntut kolej swasta wanita di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi.

Kedua-dua pertuduhan di dakwa dilakukan di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, 17 Okt lepas. 

--  BERNAMA