Skip to main content

Malaysia

Syed Saddiq anjur Larian Kesyukuran Muar, sasar kutipan RM200,000 bantu rakyat

Putrajaya , 13 Julai 2026.Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).Astro AWANI / SHAHIR OMMAR
Untuk rekod, sejak 2020, Syed Saddiq dilihat aktif menganjurkan pelbagai kempen pengumpulan dana secara kreatif dan berskala besar bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Advertisement

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal menganjurkan Larian Kesyukuran Muar, sebuah acara larian amal yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 bagi membantu kebajikan penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Dana yang dikumpulkan menerusi program itu akan disalurkan bagi memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan, termasuk mahasiswa, sebagai usaha memperkukuh bantuan kebajikan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Syed Saddiq mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi menjayakan misi kutipan dana tersebut.

Katanya, dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar yang memerlukan akses kepada peranti pembelajaran.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya menerima begitu banyak doa, sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan, pasukan saya serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar." kata beliau.

Acara larian berkenaan dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini (16 Julai) hingga 19 Julai, dengan pelepasan di Istana Kehakiman, Putrajaya sebelum berakhir diLaman Maharani, Muar.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi laman rasmi Larian Kesyukuran Muar di lariankesyukuranmuar.com.

Untuk rekod, sejak 2020, Syed Saddiq dilihat aktif menganjurkan pelbagai kempen pengumpulan dana secara kreatif dan berskala besar bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar. 

Sehingga Julai 2026, sekurang-kurangnya lima kempen utama telah dilaksanakan dengan fokus terhadap kebajikan masyarakat.

Antara kempen yang mendapat perhatian ialah Botak Challenge, yang berjaya mengatasi sasaran kutipan apabila mengumpulkan lebih RM383,000.

Selain itu, pada November 2025, beliau turut menyertai acara sukan lasak Ironman Malaysia dengan cabaran menamatkan perlumbaan dalam tempoh kurang daripada 13 jam. 

Kejayaan itu membolehkan beliau memperoleh tajaan berjumlah RM1 juta, yang disalurkan sepenuhnya bagi tujuan kebajikan penduduk Muar termasuk pembelian komputer riba untuk pelajar yang memerlukan.

Justeru, Larian Kesyukuran Muar dilihat sebagai kesinambungan kepada siri inisiatif pengumpulan dana yang dilaksanakan Ahli Parlimen Muar itu dalam usaha memastikan lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan menerima bantuan yang sewajarnya.

Must Watch Video

Advertisement