Presiden Mesir, Hosni Mubarak terpaksa melepaskan jawatan selepas 18 hari demonstrasi. Manakala Presiden Tunisia, Zainul Abidin Ben Ali memilih untuk melarikan diri selepas 6 minggu kebangkitan rakyat. Sementara itu, usaha keras pemimpin Libya, Muammar Ghadafi, untuk berdepan serangan Tentera Nato dan soldadu kerajaan peralihan yang ditubuhkan pemberontak hanya bertahan untuk beberapa bulan sahaja sehingga pemimpin pengasas "Buku Hijau" itu dibunuh dengan kejam.
Kekang Revolusi
Bashar dan kuncu-kuncu memilih untuk menggunakan pendekatan tentera bagi mengekang revolusi. Pendekatan sama dilakukan bapanya, Hafiz Al-Assad pada tahun 1982 di Hama. Bagaimanapun, Bashar yang menyifatkan kebangkitan rakyat sebagai konspirasi menentang pemerintahannya sudah tentu tidak menyangka kekuatan pemberontak yang dibantu negara-negara barat dan Arab.
Rusia dan Iran secara terang-terangan membantu Bashar. Malah pada Jumaat lalu, 3 kapal perang Rusia berlabuh di Beirut dengan ratusan tentera sebelum menuju ke Tartus, Syria. Dalam masa sama, Perancis dan Britain menyempurnakan lagi misi membekalkan senjata untuk pembangkang dan tenteranya yang dimulakan oleh negara-negara Teluk.
Dalam kedua-dua situasi, rakyat Syria menjadi mangsa pertumpahan darah tidak kira mereka pro kerajaan atau pembangkang. Harapan untuk mengelakkan pertumpahan darah ternyata semakin kabur. Semua inisiatif damai dan penyelesaian politik menemui jalan buntu berikutan jurang besar antara pemerintah dan pemberontak. Misi Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi gagal membuahkan hasil.
Sementara itu, Amerika Syarikat yang tidak mahu terbabit dalam kancah perang ketiga di Asia Barat selepas "kekalahan" di Afghanistan dan Iraq memilih untuk menyerahkan isu berkenaan kepada sekutunya, Perancis dan Britian. Ia adalah pendekatan sama Amerika dalam revolusi Libya. Selain itu wujud juga laporan yang menyebut tentang inisiatif damai bersandarkan kepada Protokol Geneva yang belum lagi dapat dikenal pasti.
Kesan Konflik
Ramai penganalisis Asia Barat termasuk Abdul Bari Atwan berpendapat tahun ke-3 revolusi bakal menyaksikan beberapa perkembangan penting yang mendasari konflik Syria. Antaranya ialah pembahagian Syria kepada sempadan geografi dan negara-negara kecil. Jika berlaku, ia boleh memecah-belahkan rakyat, iaitu perpecahan dalam kalangan pemberontak sendiri yang boleh dikategorikan seperti berikut:
- Perpecahan Islam: Bibit perpecahan mula kelihatan membabitkan aliran Islam sederhana yang dibawa Pergerakan Ikhwanul Muslimin dan Islam ekstrim yang diwakili kumpulan-kumpulan Jihad. Pada masa sama wujud juga pemberontak yang berfahaman sekular yang mahu menubuhkan negara madani.
- Perpecahan Etnik dan Geografi: Kawasan utara lebih didominasi puak Kurdish, manakala selatan dikuasai oleh puak Arab. Malah tidak mustahil akan wujud pentadbiran autonomi untuk puak Kurdish sepertimana yang berlaku di Iraq.
- Perpecahan Mazhab: Syria memiliki kepelbagaian mazhab termasuk Arab Sunnah, Arab Alawiyin, Arab Syiah, Ismailiyun dan Duruz. Malah ada juga golongan Arab Kristian, Arman dan Asyoriyun.
Ramai pihak yakin kerajaan Syria akan jatuh, tetapi masing-masing belum dapat mengagak apakah kemungkinan yang boleh berlaku selepas kejatuhan Bashar. Perpecahan dalaman sudah pasti akan terus mengakibatkan rakyat Syria terus menderita.