KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dikaji semula pada masa depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana golongan tersebut berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

Jelas beliau lagi, Malaysia perlu beralih kepada subsidi secara bersasar bagi memastikan golongan sasar memperoleh manfaatnya.

"Di negara kita, kita ada kerangka Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tetapkan tarif harga. Kedua, kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna-pengguna domestik hatta, T20.

"Itu (subsidi kepada T20) pun bagi saya satu perkara yang kita perlu fikir semula di masa hadapan. Ini kerana bila kita bercakap tentang tarif untuk T20, mereka sepatutnya kalau boleh dapat gaji yang besar, mereka patut bayar tarif yang lebih kompetitif.

"Tetapi untuk M40 dan B40, saya setuju bahawa kita perlu lindungi mereka," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata kerajaan juga tidak boleh meneruskan subsidi kepada syarikat korporat yang mengaut keuntungan yang besar.

Begitu pun, beliau berkata kadar tarif yang lebih baik akan diberikan kepada beberapa syarikat seperti penyedia utiliti yang boleh memberi kesan kepada rakyat melalui kitaran ICPT akan datang

"Saya sebut di sini ialah kita tidak boleh meneruskan subsidi korporat.

"Ekonomi kita, korporat mendapat keuntungan yang lebih besar berbanding kadar gaji dan sebagainya. Antara faktor ialah subsidi korporat yang kita berikan. Kita kena beralih kepada subsidi secara bersasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung," ujarnya.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan, tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.