MALAYSIA
Peguam sahkan tiga rakaman suara tular adalah Zara Qairina dan ibunya

Peguam sahkan rakaman suara antara Zara Qairina dan ibunya adalah tulen. -Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Peguam, Hamid Ismail yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, mengesahkan bahawa rakaman suara berdurasi 44 saat yang tular memaparkan perbualan telefon antara remaja tersebut dan ibunya, Noraidah Lamat adalah tulen.
Ringkasan AI
- Peguam keluarga mengesahkan rakaman suara antara Allahyarham Zara Qairina dan ibunya adalah tulen, menunjukkan kebimbangan Zara terhadap keselamatannya dan gangguan oleh pelajar senior.
- Dalam beberapa rakaman, Zara menceritakan insiden melibatkan rakannya Yasmin yang turut menjadi mangsa gangguan, termasuk dipanggil ke kelas pelajar senior dan hampir diserang.
- Rakaman suara ini menarik perhatian ramai selepas kematian Zara dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah, susulan insiden dia terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan meninggal dunia.
“Mak, Zara takut terjumpa ‘Kak M’, dia masih lagi... Haritu Zara minta tolong ada orang ni kan, cuba kau tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si ‘Kak M’, masih lagikah dia ada masalah dengan aku.
"Lepas itu, ‘kakak M’ tu bilang, ‘iya, aku masih lagi nda maafkan si Zara’, mak...,” kata suara tersebut.
Rakaman itu turut memaparkan nada bimbang Allahyarham yang tertanya-tanya tentang kemungkinan buruk yang boleh berlaku terhadap dirinya.
“Kalau dia buat juga, macam mana? Haritu dia pernah bilang, ‘kalau aku touch kau ni, berdarah-darah kau ni’. Kalau dia buat, mak, apa jadi?” soal Zara dalam perbualan bersama ibunya.
Bagaimanapun, tarikh sebenar rakaman perbualan telefon tersebut tidak dapat dipastikan, namun ia pernah dirujuk dalam kenyataan Hamid dan rakan pasukannya, Shahlan Jufri.
Dalam rakaman ketiga dan keempat pula, Zara Qairina menceritakan kepada ibunya bahawa rakannya yang dikenali sebagai Yasmin turut menjadi mangsa gangguan oleh sekumpulan pelajar senior.
Rakaman ketiga berdurasi satu minit 36 saat memperdengarkan perbualan telefon Zara yang menceritakan insiden Yasmin difitnah hingga dipanggil ke kelas pelajar Tingkatan Empat.
“Mak, mak jangan sebut mak. Kak M ada sini… Mak tahu kan, yang Zara ‘call’ semalam tu kan, ngam-ngam malam tu, tiba-tiba si Yasmin kena panggil ke kelas mereka Tingkatan Empat.
“Mak, dia hampir kena ‘touch’ semalam… Nasib baik Zara tidak kena panggil, mak,” katanya dalam nada cemas.
Menurut Zara, kejadian itu berlaku selepas Yasmin didakwa menyebarkan cerita bahawa seorang pelajar perempuan senior menyukai pelajar lelaki, walhal perkara itu merupakan fitnah.
“Dia kena fitnah, gara-gara dia bilang Kak Minas tu syok senior, rupanya dia kena fitnah. Si Yasmin ni yang dikatakan begitu. Sudah si Yasmin cakap begitu (tak betul), si Yasmin siap bersumpah pegang al-Quran lagi,” katanya.
Rakaman keempat pula merupakan sambungan perbualan Zara dengan ibunya mengenai Yasmin, yang berdurasi hampir dua minit.
Dalam rakaman itu, Zara meluahkan bahawa rakan-rakan mereka tidak mempunyai pilihan selain menurut arahan apabila dipanggil oleh pelajar senior.
“Mak, mak… Masalahnya macam mana dia tidak pergi… Kakak tu sendiri yang cari dia di kelas, lepas tu kakak tu sendiri suruh, ‘kau pergi naik atas sekarang’. Lepas tu kakak tu ikut dia dari belakang… Macam mana dia mahu lari?
“Si Yasmin pun ikut… Masuk-masuk saja ke kelas, terus dia menangis, mak. Lama mak (dipanggil)… Mahu dekat satu jam begitu,” kata Zara.
Zara turut menyuarakan ketakutan untuk melawan atau mengelak kerana bimbang dimarahi pelajar senior.
Malah, katanya, dia pernah diberi amaran secara halus hanya melalui renungan tajam yang cukup untuk membuatkannya berasa terancam.
“Haritu pun dia tengok-tengok Zara sekilas, sudah Zara takut… Apa lagi ini,” katanya.
Rakaman suara antara dua beranak itu menarik perhatian warga maya selepas kematian Zara Qairina dikaitkan dengan dakwaan insiden buli di sekolah berkenaan.
Pelajar Tingkatan Satu itu sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian remaja tersebut mencetuskan reaksi meluas, terutama di media sosial, susulan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami