Lembaga Tabung Haji (TH) bakal memperuntukkan jumlah subsidi yang lebih tinggi untuk musim haji tahun hadapan bagi mengurangkan kos haji yang dijangka semakin meningkat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Johan Abdullah berkata faktor-faktor pemboleh ubah seperti peningkatan dalam harga tambang penerbangan, penginapan jemaah haji dan juga perubahan harga mata wang perlu di ambil kira dalam menentukan kos haji, seterusnya menetapkan jumlah subsidi.

"Saban tahun (kos haji) akan meningkat. Harga bagi tahun 2017 tidak akan sama dengan harga tahun 2016.

"Kita masih belum kira lagi kos haji bagi 2017, tetapi saya anggarkan ada sedikit peningkatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Iqra' yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Terdahulu, Jamil Khir, dalam ucapannya berkata TH telah menanggung kos haji lebih RM160 juta untuk musim haji baru-baru ini bagi memastikan bayaran haji para jemaah kekal pada RM9,980 seorang.

Subsidi tersebut membolehkan jemaah Haji Muassasah terus menikmati segala kemudahan yang disediakan dengan selesa walaupun kos haji adalah tinggi iaitu RM18,890 seorang bagi musim ini. -- Bernama