KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meletakkan Tabung Haji (TH) dibawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menambahbaik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Jelasnya, keputusan itu dibuat bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus yang baik.

"Pemantauan dan kawal selia oleh BNM merupakan komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai sebuah institusi Islam yang lebih berdaya tahan di dalam ekosistem kewangan negara.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan juga komited dalam mengangkat kedudukan TH sebagai Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan yang cemerlang dan lestari di peringkat global.

Malah pendekatan kawal selia itu, jelasnya lagi, telah diguna pakai dalam institusi kewangan pembangunan sebelum ini.

"Pendekatan yang sama telah digunapakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

"Oleh yang demikian, cadangan rangka kerja pengawalseliaan oleh BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu fit-for-purpose regulation, tidak semestinya sama dengan institusi perbankan lain," jelas Tengku Zafrul lagi.

BACA: Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH tidak ganggu urusan harian pendeposit

Ia termasuk keperluan pematuhan kecukupan modal bersesuai dengan model perniagaan TH dan keperluan kecairan yang bersesuai dengan ciri-ciri deposit dan pelaburan TH.

Menerusi kawal selia itu juga, aspek semak dan imbang dapat diwujudkan selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

"Dalam hal ini, secara dasarnya BNM akan menumpukan peranan kawal seliaannya antara lain terhadap aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan," katanya lagi.

Tambahnya lagi, kerajaan tetap menjamin dan melindungi simpanan pendeposit TH walaupun TH dicadangkan sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang ditetapkan.

"Dalam erti kata lain, pendeposit TH terus menikmati jaminan Kerajaan seperti sekarang (status
quo) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

"Pendekatan ini adalah sama seperti BSN yang dikawal selia oleh BNM di mana simpanan pendeposit masih dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan," ujar Menteri Kewangan itu lagi.