Skip to main content

Malaysia

Tabung Haji: Tubuh badan khas bawah PAC berbanding RCI kedua - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Ogos -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 - Realiti dan Persepsi : Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sebuah hotel hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 - Realiti dan Persepsi : Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penubuhan badan khas di bawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen lebih sesuai untuk dipertimbangkan bagi menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2017 hingga 2022 berbanding mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kali kedua.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata PAC mempunyai ‘locus standi’ yang jelas menerusi tugas dan tanggungjawabnya untuk menjalankan penelitian terhadap perkara berkaitan pengurusan kewangan dan tadbir urus.

“Saya fikir PAC itu lebih sesuai untuk melakukan penyiasatan kerana mereka mempunyai ‘locus standi’ yang tertulis di dalam tugas dan tanggungjawab PAC itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas program Musyawarah Nasional 'Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji', di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional merangkap Presiden UMNO menambah, cadangan supaya PAC menubuhkan badan khas itu turut dikemukakan oleh beberapa ahli Parlimen dalam pertemuan tidak formal ketika forum berkenaan.

Beliau berkata langkah itu juga dapat memastikan perkara berkaitan pengurusan TH diteliti berdasarkan fakta dan dapatan audit, selain mengelakkan tuduhan terhadap mana-mana pihak.

“Dan pada hemat saya, ini adalah satu saranan yang harus diikuti agar tidak ada tuduhan ‘penyakauan’, sebaliknya sijil telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) yang jelas memperlihatkan bahawa sijil bersih telah dikeluarkan.

“Memperlihatkan bahawa pengauditan yang dilakukan terhadap TH itu adalah berdasarkan kepada Akta TH menetapkan bahawa audit yang harus dilakukannya ialah Jabatan Audit Negara,” ujarnya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menjelaskan, laporan RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif turut tidak menuding kesalahan terhadap mana-mana individu.

Sementara itu, ditanya sama ada cadangan forum berkenaan perlu dibawa ke Kabinet, Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan tidak perlu dibawa ke Jemaah Menteri kerana forum itu bertujuan memberikan penjelasan.

“Saya tidak fikir ianya perlu dibawa ke Kabinet kerana forum ini adalah forum penjelasan, dan pada hemat saya apa yang disarankan secara tidak formal tadi oleh ahli-ahli Parlimen harus diberikan keutamaan.

“Terutamanya PAC harus menubuhkan badan penyiasat yang di bawah tanggungjawab PAC sendiri, itu lebih afdal berbanding dengan lain-lain kaedah,” ujar beliau.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu. 

Must Watch Video

Advertisement