Tabung Haji akan memastikan jemaah haji musim ini dapat menunaikan ibadah dengan selesa walaupun terdapat projek pembinaan dan menaik taraf besar-besaran dilaksanakan di kota Mekah.

Segala persiapan bagi menerima kedatangan tetamu Allah telah pun dibuat menjelang musim haji pada awal September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail memberitahu walaupun jumlah jemaah haji terpaksa dikurangkan 20 peratus, badan itu tetap mengekalkan bilangan kakitangan bertugas.

Seperti musim sebelumnya, Tabung Haji akan menghantar 800 kakitangannya ke tanah suci dan melantik 400 petugas tempatan bagi membantu melicinkan urusan ibadah jemaah haji.

"Kita akan kekalkan jumlah itu walaupun terdapat pengurangan jemaah tahun ini. Kita ambil peluang kekurangan jemaah utk beri lebih keselesaan kepada jemaah haji insyallah" jelas Ismee Ismail, selaku petugas di Mekah.

Sementara itu mengulas mengenai isu penginapan terutama di Mekah, Ismee berkata Tabung Haji telah menempah hotel berdekatan Masjidil Haram bagi memudahkan jemaah haji.

"Alhamdulillah di Madinah dia mudah sikit kerana hotel-hotel saya sebut tadi berada dalam lingkungan 150 meter dari masjid (Nabawi), di Mekah dalam lingkungan 600 hingga 950 meter dari masjid (Al Haram) itu sendiri, itu secara tradisi memang kita cuba mengelakkan hotel-hotel yang melebihi 1 kilometer" tambah Ismee lagi.

Tinjauan Astro Awani mendapati kebanyakan hotel berhampiran Masjidil Haram telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan besar-besaran di kawasan berkenaan.

Pengubahsuaian turut menjejaskan ruang untuk mengerjakan ibadah tawaf serta sai’e.

Selain terpaksa bersesak-sesak keadaan bunyi bising dan berhabuk juga boleh menjejaskan keselesaan serta kesihatan jemaah haji.

Justeru Tabung Haji mengingatkan para jemaah agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng muka pada musim haji kali ini.

Harris Hardy Hakim bersama Jurukamera Ahmad Amir Ariffin melaporkan dari Mekah Almukarramah.