Skip to main content

Malaysia

Tabung Kasih@HAWANA bantu 669 pengamal media, dana hampir RM2 juta disumbangkan - Teo

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyampaikan sumbangan kepada bekas penyunting berita Harian Metro, Pahmi Mat Ali (dua kiri), pada program penyampaian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di PPR Gombak Setia hari ini.  Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (kanan); Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj (berdiri kiri); dan isteri Pahmi Mat Ali, Norha Muda (kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPT
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyampaikan sumbangan kepada bekas penyunting berita Harian Metro, Pahmi Mat Ali (dua kiri), pada program penyampaian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di PPR Gombak Setia hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 669 pengamal media dan bekas wartawan di seluruh negara telah menerima manfaat sumbangan Tabung Kasih@HAWANA dengan hampir RM2 juta dana disalurkan sejak inisiatif itu diperkenal pada 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif itu, yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan komuniti media khususnya mereka yang memerlukan bantuan.

Advertisement

Beliau berkata dalam tempoh kurang tiga tahun, Tabung Kasih@HAWANA berjaya mendekati dan membantu ratusan pengamal media yang berdepan kesempitan hidup mahupun masalah kesihatan.

“Pada tahun pertama ia diperkenal, seramai 28 penerima telah dibantu dengan jumlah sumbangan sebanyak RM45,000 dan jumlah penerima meningkat kepada 229 orang pada 2024, dengan jumlah sumbangan yang disalurkan sebanyak RM648,490.

“Pada 2025, jumlah ini sekali lagi meningkat kepada 349 penerima dengan jumlah sumbangan RM1.059 juta dan untuk tahun ini... setakat 11 Mac, kita sudah mempunyai 63 penerima melibatkan sumbangan RM110,000 disalurkan,” katanya.

Teo berkata demikian selepas menziarahi dan menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas penyunting Harian Metro Pahmi Mat Ali yang kini diuji dengan masalah kesihatan di kediamannya di Gombak Setia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Teo juga berkata inisiatif itu akan dipergiat dalam tempoh dua minggu menjelang sambutan Aidilfitri bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau menyeru syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tampil menjalinkan kerjasama atau menyumbang kepada tabung berkenaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada petugas media yang berdepan kesempitan hidup.

“Sekiranya ada GLC atau syarikat swasta yang ingin menyumbang kepada tabung ini, kami amat mengalu-alukan kerjasama tersebut.

“Apabila dana tabung semakin besar, kami dapat membantu lebih ramai penerima... malah bagi kes yang benar-benar memerlukan bantuan lebih besar, kami juga berupaya menyalurkan jumlah sumbangan yang lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video