Skip to main content

Dunia

Bekas presiden Paraguay dipindah ke penjara tentera susulan dakwaan layanan istimewa

Bekas pemimpin berusia 48 tahun itu berdepan siasatan berkaitan skandal yang melibatkan kejatuhan Ueno Bank, sebuah institusi kewangan utama yang digunakan oleh lebih separuh penduduk dewasa Paraguay. - Foto REUTERS
Bekas pemimpin berusia 48 tahun itu berdepan siasatan berkaitan skandal yang melibatkan kejatuhan Ueno Bank, sebuah institusi kewangan utama yang digunakan oleh lebih separuh penduduk dewasa Paraguay. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Bekas Presiden Paraguay, Santiago Pena, dipindahkan ke penjara tentera selepas didakwa menerima layanan istimewa ketika ditahan berkaitan skandal kewangan Ueno Bank.
  • Pena berdepan pertuduhan pecah amanah, bersekongkol melakukan jenayah dan menyalahgunakan kuasa, serta didakwa menyalurkan dana awam ke Ueno Bank.
  • Bekas Naib Presiden Pedro Alliana dilantik sebagai pemimpin baharu, manakala seorang pegawai tentera dipecat kerana memberi layanan istimewa kepada Pena.
Advertisement

ASUNCION: Bekas Presiden Paraguay, Santiago Pena, dipindahkan ke sebuah penjara tentera atas arahan mahkamah selepas timbul dakwaan beliau menikmati pelbagai kemudahan khas ketika ditahan menunggu perbicaraan berkaitan skandal rasuah kewangan yang menggemparkan negara itu.

Menurut laporan Al Jazeera, Hakim Osmar Legal pada Isnin mengarahkan Pena dipindahkan dari Rejimen Pengiring Presiden di ibu negara, Asuncion, selepas laporan media mendedahkan beliau ditempatkan dalam keadaan yang jauh lebih selesa berbanding tahanan lain.

Laporan berkenaan mendakwa Pena mempunyai akses kepada ruang makan yang luas, perabot lengkap, gimnasium peribadi serta bilik mandi sendiri, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Advertisement

Pena kini ditempatkan di penjara tentera Vinas Cue, namun akan diasingkan daripada penghuni lain atas faktor keselamatan.

Bekas pemimpin berusia 48 tahun itu berdepan siasatan berkaitan skandal yang melibatkan kejatuhan Ueno Bank, sebuah institusi kewangan utama yang digunakan oleh lebih separuh penduduk dewasa Paraguay.

Advertisement

Krisis itu tercetus pada 3 November lalu apabila bank pusat Paraguay mengambil alih Ueno Bank selepas mengisytiharkannya muflis.

Tindakan tersebut menyebabkan hampir tiga juta pemegang akaun kehilangan akses kepada dana mereka, manakala bank berkenaan dilaporkan menguruskan kira-kira AS$850 juta dana awam, termasuk wang pencen, sebelum kejatuhannya.

Skandal itu akhirnya membawa kepada penyingkiran Pena daripada jawatan presiden selepas sokongan politik terhadapnya semakin merosot.

Ahli Parti Colorado yang berhaluan konservatif itu dilaporkan cuba meletakkan jawatan, namun Kongres Paraguay memilih untuk meneruskan proses pemecatan terhadapnya sebelum beliau disingkirkan secara rasmi pada 6 November.

Ketika siasatan jenayah berjalan, perhatian turut tertumpu kepada penglibatan Pena sebagai pemegang saham dalam syarikat induk Ueno.

Pena menafikan sebarang salah laku dan mendakwa telah menjual pegangannya pada tahun 2025.

Bagaimanapun, pendakwa raya menuduh beliau menggunakan kedudukannya sebagai presiden untuk menyalurkan dana awam ke bank berkenaan ketika pinjaman dalaman diberikan kepada pemilik syarikat.

Beliau kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk pecah amanah, bersekongkol melakukan jenayah dan menyalahgunakan kuasa bagi memperoleh keuntungan peribadi.

Susulan penyingkiran Pena, bekas naib presiden Pedro Alliana mengangkat sumpah sebagai pemimpin baharu cabang eksekutif negara itu.

Dalam sidang media pada Isnin, Alliana berkata seorang pegawai tentera, Kolonel Jose David Daiub, telah dipecat kerana didakwa memberi layanan istimewa kepada Pena ketika dalam tahanan.

"Keutamaan kami adalah memastikan kestabilan negara, memulihkan keyakinan rakyat dan menyediakan penyelesaian yang segera serta berkesan," katanya sebagaimana dipetik Al Jazeera.

Alliana berkata rakyat Paraguay berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik skandal yang mencetuskan krisis politik dan kewangan tersebut.

Menurut Al Jazeera, pemindahan Pena ke penjara tentera itu berlaku pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-48.

 

 

Must Watch Video

Advertisement