Ringkasan AI
- Naib Presiden AS, JD Vance, memberi jaminan konfrontasi dengan Iran tidak akan berkembang menjadi konflik berpanjangan yang melibatkan komitmen ketenteraan bertahun-tahun.
- Vance menegaskan pentadbiran Presiden Trump tidak berhasrat mengekalkan kehadiran ketenteraan jangka panjang di rantau Asia Barat.
- Kenyataan ini dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Tehran meningkat susulan kebimbangan terhadap program nuklear Iran.
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, memberi jaminan bahawa sebarang konfrontasi melibatkan Iran tidak akan berkembang menjadi konflik berpanjangan yang mengheret Washington ke dalam komitmen ketenteraan bertahun-tahun lamanya.
Menurut laporan Al Jazeera, Vance berkata program nuklear Iran sememangnya dilihat sebagai ancaman terhadap AS, namun pentadbiran Presiden Donald Trump tidak berhasrat untuk terlibat dalam peperangan yang berlarutan.
"Program nuklear Iran adalah ancaman kepada Amerika Syarikat, tetapi kami tidak akan membiarkan perkara ini menjadi komitmen selama 10 atau 15 tahun, malah bukan juga selama dua tahun," katanya dalam wawancara bersama Fox News.
Beliau menegaskan Washington tidak bercadang untuk mengekalkan kehadiran ketenteraan di rantau itu dalam jangka masa panjang.
"Kami tidak akan berada di sana selama-lamanya. Kami sudah berjanji mengenai perkara itu dan saya yakin presiden akan membawa kami keluar daripada situasi ini dengan hasil yang baik," katanya lagi.
Kenyataan Vance dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus menjadi tumpuan susulan kebimbangan terhadap program nuklear Iran serta perkembangan keselamatan di Asia Barat.
Menurut Al Jazeera, kenyataan itu dilihat sebagai usaha pentadbiran Trump untuk meredakan kebimbangan bahawa sebarang tindakan terhadap Iran boleh berkembang menjadi konflik jangka panjang seperti yang pernah berlaku di Iraq dan Afghanistan.