IPOH: Masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak berjaya mengutip RM1.04 juta sumbangan untuk disalurkan ke Gaza, Palestin melalui Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak yang dilancarkan awal Oktober tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kutipan itu sebagai tanda solidariti dan sokongan umat Islam di Perak terhadap rakyat Palestin yang sedang berdepan serangan tentera zionis.

Menurutnya, sehingga kini sumbangan sudah disalurkan secara berperingkat iaitu RM700,000 kepada Yayasan Al-Quds, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebanyak RM244,641 dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM100,000.

"Kutipan ini akan diteruskan dan sesiapa yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian di masjid-masjid dan surau diri Jumaat di kariah masing-masing.

“Kita tidak hentikan selagi mana situasi di Gaza masih berterusan kerana selepas ini akan ada pembangunan pasca peperangan yang memerlukan dana lebih banyak untuk membangunkan balik Gaza.

"Kepada masyarakat yang menyumbang, terima kasih banyak, mudah-mudahan Allah memberi ganjaran yang besar kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak kepada MAPIM di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak, di sini, pada Isnin.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, Harith Fadzilah meminta semua masjid dan surau di negeri ini supaya meneruskan bacaan Qunut Nazilah selepas solat fardu kerana setakat ini JAIPk tidak mengeluarkan pekeliling untuk menhentikannya.

"Kita melihat bahawa doa kita sangat penting untuk memberikan kekuatan dan semangat kepada saudara-saudara kita di Gaza," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, sumbangan yang diberikan oleh masjid-masjid di Perak akan diagihkan melalui pembelian barangan keperluan di Gaza selain pemberian wang tunai kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, antara barangan keperluan yang akan diedarkan meliputi makanan, ubat-ubatan serta keperluan untuk kaum wanita.