Skip to main content

Malaysia

Taburan hujan melebihi Ribut Senyar punca banjir di Melaka

Threads nawrashayanggg
Jumlah taburan kumulatif hujan tertinggi, iaitu melebihi 100 milimeter (mm) telah dicatatkan di Melaka Tengah dan Alor Gajah. - Gambar/ Threads nawrashayanggg
Advertisement

MELAKA: Taburan hujan yang tinggi di Melaka Tengah dan Alor Gajah, yang melebihi taburan hujan ketika Ribut Tropika Senyar pada akhir tahun lepas, menjadi antara punca banjir di kedua-dua daerah berkenaan hari ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi berkata setakat 2.30 petang tadi, jumlah taburan kumulatif hujan tertinggi, iaitu melebihi 100 milimeter (mm) telah dicatatkan di dua daerah itu.

“Taburan hujan yang direkodkan ketika Ribut Tropika Senyar yang berlaku pada 28 Nov tahun lepas ialah 147 mm namun taburan hujan yang direkodkan di empat stesen hujan di kedua-dua daerah hari ini adalah antara 132 mm hingga 158 mm,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata di daerah Alor Gajah, Stesen Hujan Solok Duku merekodkan 150 mm dan Stesen Hujan UiTM Lendu (141 mm) manakala di daerah Melaka Tengah pula, Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang (158 mm) dan Stesen Hujan Empangan Bertam Hulu (132 mm).

Setakat 4 petang tadi, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dari 22 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Daripada jumlah itu, terdapat tiga kawasan terjejas banjir di daerah Alor Gajah manakala 19 kawasan lagi di Melaka Tengah susulan hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak 6 pagi tadi.

Ia melibatkan PPS di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah dengan jumlah 15 mangsa daripada lima keluarga manakala dua PPS di daerah Melaka Tengah, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Ulu dan Japerun Pantai Kundor masih dalam proses pemindahan mangsa banjir.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement