Skip to main content

Malaysia

TAGS rekod 134 aduan gangguan seksual dalam tempoh lapan bulan

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) merasmikan Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan Pelancaran Sistem e-TAGS di Menara Aras Raya hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) merasmikan Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan Pelancaran Sistem e-TAGS di Menara Aras Raya hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

SEMPORNA: Agensi Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan 134 aduan gangguan seksual dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dengan 90 daripadanya berjaya diselesaikan.

Menteri Pembangunan Wanita. Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu menunjukkan TAGS yang ditubuhkan pada 8 Mac 2024 berperanan penting sebagai saluran utama membantu mangsa mendapatkan penyelesaian dan pembelaan terhadap insiden yang dialami.

"Angka itu hanya membabitkan aduan yang diterima di kaunter KPWKM dan tidak termasuk laporan polis, mangsa lelaki dan kanak-kanak juga boleh menggunakan platform ini untuk mendapatkan pembelaan. Setakat tahun ini terdapat empat mangsa lelaki yang memfailkan kes kepada tribunal.

“Ada juga mangsa sudah menang dan mendapat pampasan," katanya kepada pemberita selepas  merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna: Advokasi Anti Gangguan Seksual (AAGS) dan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) di sini hari ini.

Beliau berkata KPWKM memberi sokongan berterusan melalui advokasi, pendidikan, dan penyediaan saluran bantuan yang mudah diakses supaya mangsa tidak terus berdiam diri apabila berdepan dengan gangguan seksual.

Mengenai perangkaan keganasan rumah tangga, Nancy berkata sebanyak 4,646 kes dilaporkan di seluruh negara sehingga Julai tahun ini, merangkumi 424 kes di Sabah.

“Angka berkenaan menunjukkan isu keselamatan wanita memerlukan tindakan yang lebih menyeluruh, bersepadu, dan berterusan menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan serta masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan mangsa keganasan atau gangguan seksual supaya berani bersuara di saluran yang betul serta menyimpan bukti yang boleh membantu proses mendapatkan pembelaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement