Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: Jabatan Penjara tunggu pemakluman rasmi

Bicara kes saman 1MDB
Jabatan Penjara masih menunggu pemakluman rasmi bertulis sebelum melaksanakan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut jabatan itu, keputusan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

“Sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan pada Ahad.

Jabatan itu berkata perkara berkenaan selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sabtu bahawa kementerian dan jabatan berkenaan masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis.

Jabatan itu turut menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sebarang arahan daripada pihak berkuasa mengikut undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

Sebarang keputusan atau arahan yang diterima akan dilaksanakan secara teratur, profesional dan berintegriti, menurut kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, Jabatan Penjara menyeru semua pihak supaya merujuk sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pelaksanaan keputusan tersebut.

Must Watch Video

Advertisement