LAPORAN baharu Transparency International (TI) mendedahkan bahawa gejala rasuah global meningkatkan kesan jangka panjang krisis COVID-19, dan ini mampu membunuh.

Laporan itu mengkaji hubungan antara tahap rasuah dan tindak balas negara terhadap wabak COVID-19 dengan melihat bagaimana aktiviti rasuah memberikan impak kepada pelaburan sistem kesihatan negara-negara dan sejauh mana norma demokratik dan institusi telah menjadi lemah sepanjang wabak tersebut melanda.

Menurut Transparency International, gejala rasuah berlaku dengan berleluasa menerusi tindak balas memerangi COVID-19 iaitu daripada memberikan rasuah untuk ujian dan rawatan kepada perolehan bekalan perubatan awam.

“Apa yang anda lihat ialah perolehan peralatan perlindungan – topeng, ventilator dan sebagainya – tidak ditangani secara telus.

“Ia menjadikannya sangat menarik bagi mereka yang korup untuk memasukkan wang tersebut ke dalam poket mereka sendiri, sehingga menjadikan mereka kaya dengan membuat rakyat menanggung akibatnya.

“Gejala rasuah dalam senario ini sebenarnya membunuh,” kata Pengarah Urusan interim TI kepada DW News.

Rasuah mampu membunuh

Laporan tersebut menunjukkan “banyak nyawa terkorban akibat kesan gejala rasuah yang membinasakan tindak balas yang adil dan saksama” terhadap wabak tersebut.

Analisis TI menyebut aktiviti rasuah telah mengalihkan dana daripada pelaburan yang sangat diperlukan dalam sektor penjagaan kesihatan sekali gus meninggalkan beberapa komuniti tanpa doktor, peralatan dan juga klinik dan hospital.

“COVID-19 bukan sahaja satu krisis kesihatan dan ekonomi; ia juga adalah krisis rasuah dan satu krisis yang gagal diurus,” kata Ketua TI, Delia Ferreira Rubio dalam satu kenyataan.

Kebanyakan negara tidak ambil tindakan

Ketika menganalisis perkembangan pada tahun lalu, TI memberikan ranking kepada 180 negara dan wilayah berdasarkan tahap rasuah dalam sektor awam yang dilihat pakar dan ahli perniagaan.

Tahap rasuah yang dilihat mungkin tidak sama dengan tahap rasuah sebenar tetapi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 dapat memfokuskan kepada impak umum gejala rasuah terhadap kegiatan kerajaan di negara-negara yang dikaji.


Memahami laporan CPI 2020 & langkah kehadapan dalam memulihkan skor CPI Malaysia



[INFOGRAFIK] Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia (2015-2020)

Kajian tersebut mendedahkan bahawa kebanyakan negara tidak mengambil tindakan untuk menangani aktiviti tidak bermoral itu dalam hampir satu dekad dan pandemik yang melanda sekarang telah memburukkan lagi keadaan di banyak negara.

CPI menggunakan skala sifar ke 100 untuk menilai prestasi setiap negara, dengan sifar yang bermaksud negara yang paling korup dan negara yang memperoleh hampir 100 mata sebagai negara yang hampir bebas daripada rasuah.

TI meluahkan rasa kecewa apabila melihat skor purata pada tahun lalu adalah hanya 43 mata, dengan dua pertiga daripada 180 negara yang dikaji mendapat skor di bawah 50 mata.