Berita Terkini ASEAN25: Tiada perbincangan isu tarif menjelang sidang kemuncak - Mohamad

Isu berkaitan perdagangan dan tarif tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
KUALA LUMPUR: ASEAN tidak akan mengeluarkan kenyataan bersama atau menyatakan pendirian bersama mengenai pertikaian perdagangan yang sedang berlaku dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata isu berkaitan perdagangan dan tarif tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"Kami tidak membincangkan isu perdagangan atau tarif dalam mesyuarat tersebut, dan adalah lebih wajar untuk setiap negara mengeluarkan kenyataan masing-masing serta berunding secara langsung dengan AS.
"Saya berpendapat bahawa Presiden AS Donald Trump, dalam hal ini lebih selesa berurusan secara dua hala berbanding pelbagai hala. Oleh itu, tiada kenyataan bersama daripada ASEAN berhubung isu terbabit," katanya pada sidang media hari ini.
Mengenai hubungan ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU), Mohamad berkata kedua-dua pihak kini pada peringkat akhir rundingan bagi memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (ASEAN-EU FTA).
Beliau berkata kemajuan rundingan antara ASEAN dan EU menunjukkan perkembangan positif.
"ASEAN kini pada peringkat akhir rundingan ASEAN-EU FTA. Saya berpandangan bahawa kemajuan yang dicapai setakat ini amat positif. Kita berharap perjanjian ini (FTA) dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.
Mohamad turut memaklumkan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai esok hingga Selasa ini sebagai tetamu.
Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak berkenaan yang menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China dan Jepun.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


