KANGAR: Peniaga di premis makanan di Perlis perlu menitikberatkan aspek kebersihan bagi meyakinkan pelanggan, sekali gus menerima kehadiran pelancong ke negeri itu bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata oleh itu, peniaga dan pelayan di kedai makan perlu memakai pelitup muka dan sarung tangan bagi memastikan hidangan yang dipesan pelanggan selamat dan tidak tercemar.

"Dalam pertemuan bersama pihak peniaga sebelum ini, kebanyakan mereka telah menyatakan kesediaan masing-masing untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis. Peniaga juga akan ikut saranan kita supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Kebanyakan peniaga juga mahukan logo Tahun Melawat Perlis untuk mempromosikan program itu, saya telah berbincang dengan BPEN (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri) supaya membuat persediaan (menyediakan logo) atau mungkin boleh buatkan apron yang ada logo untuk peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menggulung perbahasan Belanjawan Perlis 2024 di Kompleks DUN di sini pada Khamis. Terdahulu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sebulat suara meluluskan belanjawan itu.

Sementara itu, beliau berkata sambutan ambang tahun baharu di Perlis pada 31 Dis nanti akan diisi dengan program berbentuk Islamik dan kemanusiaan untuk Palestin.

"Mereka (yang bukan beragama Islam pula) boleh buat program hiburan dan nyanyian secara tertutup ataupun program tertentu yang dibuat di rumah ibadat masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, sidang DUN Perlis ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

-- BERNAMA