KUALA LUMPUR: Tajikistan mempelawa pihak berkepentingan dalam sektor budaya di Malaysia menganjurkan minggu budaya di negara itu bagi memperkenalkan Malaysia kepada negara Asia Tengah berkenaan.
Duta Besar Tajikistan ke Malaysia Ardasher Qodiri berkata antara produk budaya Malaysia yang perlu diperkenalkan di Tajikistan ialah batik, tarian serta makanan Malaysia.
Advertisement
“Kini kebanyakan rakyat Tajikistan hanya mengenali Menara Berkembar Petronas. Mereka juga perlu mengenali budaya Malaysia,” katanya pada sesi taklimat media di sini pada Isnin.
Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai kedutaan Tajikistan.
Qodiri, yang juga ditauliahkan ke Indonesia dan Thailand, menekankan bahawa kerjasama budaya harus mendahului dan menjadi asas kepada penglibatan politik, ekonomi serta bentuk kerjasama lain antara kedua-dua negara.
Beliau berkata apabila rakyat mula mengenali antara satu sama lain melalui budaya, tradisi, seni, kehidupan harian dan nilai kemanusiaan sejagat, ia mewujudkan persefahaman dan kepercayaan bersama yang kemudiannya menjadi asas kukuh kepada dialog politik mampan, kerjasama ekonomi serta perkongsian jangka panjang.
“Budaya merapatkan hubungan sesama manusia. Apabila wujud persefahaman dan rasa hormat antara masyarakat, kerjasama dalam bidang lain akan berkembang secara semula jadi dan berkesan,” tambah Qodiri.
Beliau berkata Malaysia adalah antara destinasi pilihan bagi rakyat Tajikistan untuk melanjutkan pengajian dengan kira-kira 400 pelajar negara itu kini menuntut di sini dan jumlah itu semakin meningkat.
Sementara itu, Setiausaha Ketiga Kedutaan Tajikistan di Kuala Lumpur Farhod Qiyomuddinov dalam pembentangannya berkata terdapat potensi besar untuk memperkukuh kerjasama antara Tajikistan dan Malaysia berdasarkan kekuatan yang saling melengkapi serta kepentingan bersama dalam aspek kestabilan, pembangunan dan hubungan antara rakyat.
Beberapa filem Malaysia boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia, yang digunakan secara meluas di Asia Tengah, katanya.
Beliau berkata tenaga hijau dan kelestarian turut menjadi agenda penting. Potensi kuasa hidro Tajikistan dan keupayaan teknologi hijau Malaysia yang semakin berkembang membuka ruang kerjasama dalam kecekapan tenaga, grid pintar dan projek berfokuskan tenaga boleh baharu, termasuk pertukaran pengetahuan mengenai daya tahan iklim.
Tajikistan, bekas republik Soviet mempunyai kira-kira 10 juta penduduk.
Kuala Lumpur dan Dushanbe menjalin hubungan diplomatik sejak 11 Mac 1992.
-- BERNAMA