MALAYSIA
Tak perlu lagi notis anjur perhimpunan: Saifuddin akui polis 'sedikit sulit'

Saifuddin melancarkan Laporan Indeks Keselamatan Sempadan Negara pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang memutuskan penganjur tidak lagi diwajibkan memberi notis awal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mengadakan perhimpunan telah meletakkan pasukan keselamatan itu dalam keadaan 'sedikit sukar'.
Ringkasan AI
- Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memansuhkan kewajipan penganjur memberi notis awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan menyukarkan perancangan keselamatan oleh PDRM, walaupun mereka akur dengan keputusan tersebut.
- Walaupun Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 diisytihar tidak berperlembagaan, peruntukan lain seperti larangan membawa senjata, kanak-kanak, dan ucapan berunsur hasutan masih kekal dan boleh dikuatkuasakan.
- Menteri Dalam Negeri turut menyeru agar semua pihak menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan, tanpa membuat tohmahan atau kesimpulan awal terhadap peranan Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja.
"Sudah tentu keputusan ini meletakkan polis dalam keadaan sedikit sukar. Jika dahulu, apabila penganjur diwajibkan memberi notis, kita dapat tahu lokasi, anggaran jumlah peserta dan dapat atur penugasan pegawai bagi tujuan kawalan keselamatan. Ini bukan untuk menyekat, tetapi untuk memudahkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, walaupun Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan kewajipan memberikan notis kepada polis diisytihar tidak berperlembagaan, majoriti peruntukan lain dalam akta berkenaan masih kekal dan wajib dipatuhi oleh penganjur serta peserta.
"Tanggungjawab penganjur masih kekal, tanggungjawab peserta juga kekal. Larangan bawa senjata, larangan bawa kanak-kanak, larangan ucapan yang menghasut sentimen perkauman atau menyentuh institusi diraja, itu semua masih sah dan boleh dikuatkuasakan," katanya.
Katanya, KDN dan PDRM akan terus memastikan aspek keselamatan awam tidak dikompromi walaupun terdapat perubahan dalam peruntukan undang-undang.
"Selain itu, penganjur sebelum ini perlu mendapatkan kebenaran pemilik premis bagi lokasi perhimpunan. Sekarang kerajaan telah membuat keputusan untuk meminda seksyen itu agar tidak perlu lagi mendapatkan izin berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat lagi, kerajaan telah mengambil langkah progresif apabila menggantung siasatan berkaitan Seksyen 9(1) akta berkenaan melalui moratorium.
Justeru, beliau berharap semua pihak menghormati keseimbangan antara hak berhimpun dan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam, sambil memberi jaminan bahawa polis akan terus bertindak secara profesional dalam mengendalikan sebarang perhimpunan awam.
Sementara itu, Saifuddin Nasution memohon semua pihak menghormati proses lantikan hakim atasan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutama membabitkan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Beliau menegaskan, tiada keperluan membuat untuk mana-mana pihak membuat tohmahan tidak berasas sebelum keputusan Majlis Raja-Raja membuat keputusan.
"Sekarang hal yang menjadi tumpuan rakyat seluruh negara adalah mengenai kekosongan (jawatan) Ketua Hakim Negara Dalam Perlembagaan ada dijelaskan Perkara 122(b) mengatakan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Tiga perkara itu sudah pun disebut dalam Perlembagaan, jadi tidak perlulah ada 'prejudge' (kesimpulan awal), tohmahan lain mendakwa Perdana Menteri... (kuasa) eksekutif campur tangan dan sebagainya. Tidak ada keperluan itu lagi. Hormatlah proses," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami