Pasukan polo negara mara ke separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025

Pemain negara akan berehat tiga hari sebelum kembali turun dalam aksi separuh akhir pada Isnin. Lawan Malaysia di separuh akhir akan ditentukan selepas pertemuan antara Filipina dan Thailand. --fotoBERNAMA
BANGKOK: Pasukan polo negara meneruskan rentak cemerlang apabila mengesahkan slot ke separuh akhir acara ekuestrian polo Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan Brunei 6-5 dalam aksi sengit di VS Sports Club Siam Polo Park, Samut Prakan, semalam.
Skuad negara yang dipimpin Putera Sultan Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beraksi tenang untuk memastikan kemenangan tipis ke atas lawan yang memberi tentangan hebat.
Pengurus pasukan Datuk Shaiful Annuar Ahmad Shaffie berkata kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berkualiti dengan Brunei jelas bangkit menunjukkan semangat juang tinggi selepas tewas 7-7.5 kepada tuan rumah, Thailand, pada Rabu.
"Pemain kita memberikan aksi terbaik. Perlawanan terikat 5-5 sebelum kami berjaya mendapatkan gol kemenangan tiga minit sebelum wisel penamat," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Shaiful Annuar berkata pemain akan menikmati rehat selama tiga hari sebelum kembali turun dalam aksi separuh akhir pada Isnin.
Beliau berkata lawan Malaysia di separuh akhir akan ditentukan selepas pertemuan antara Filipina dan Thailand, hari ini.
"Siapa pun lawan nanti, kami akan berikan segalanya demi memburu pingat emas," katanya.
Dalam satu lagi perlawanan, Filipina menewaskan Indonesia 5.5-3 mengikut sistem handicap.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


