IPOH: Polis Perak mengesan taktik terbaharu yang digunakan ‘scammer’ bagi memperdayakan mangsa dengan menggunakan dokumen waran tangkap atau notis kehadiran, yang mempunyai logo agensi penguatkuasa itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan berkaitan modus operandi (MO) baharu itu dengan tandatangan Ketua Polis Perak dan Perlis.

Menurutnya, kes pertama tidak melibatkan kerugian manakala kes kedua melibatkan kerugian RM98,000.

Katanya, dalam kes pertama, pada 14 Jun lalu, seorang peniaga kedai makan di Teluk Intan menerima panggilan telefon yang mendakwa terdapat kiriman bungkusan yang mengandungi bahan terlarang atas nama pengadu.

“Pengadu juga dikatakan terlibat dalam kes berkaitan dadah dan pengubahan wang haram serta mempunyai waran tangkap polis.

“Notis kehadiran yang mempunyai logo polis dan perjawatan Ketua Polis Perak telah dihantar oleh sindiket ‘phone scam’ ke telefon bimbit pengadu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, pengadu tidak terpedaya dan tidak mengalami sebarang kerugian.

Mohd Yusri berkata, pada hari yang sama, seorang pensyarah sebuah universiti di Perak telah menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pihak polis.

Menurutnya, pihak sindiket telah menghantar notis kehadiran yang mempunyai logo polis dan ditanda tangani oleh Ketua Polis Perlis, yang mendakwa mangsa disyaki terlibat dengan kes berkaitan penyeludupan dadah dan penggelapan wang berjumlah RM2.8 juta.

“Mangsa telah diperdaya dengan mendedahkan maklumat peribadi dan bank sehingga mengalami kerugian sebanyak RM98,000 yang telah dikeluarkan oleh sindiket secara pindahan wang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, statistik menunjukkan sindiket ‘phone scam’ merupakan penyumbang utama kepada jenayah penipuan atas talian di Kontinjen Perak.

Katanya, sepanjang tahun 2022, sebanyak 358 kes berkaitan telah dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM15 juta.

Tambahnya, bagi tempuh lima bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 181 kes telah disiasat yang melibatkan kerugian lebih RM8 juta.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang urusan berkaitan wang dan perbankan melalui telefon.

Beliau turut mengingatkan pihak polis tidak menjalankan urusan berkaitan jenayah secara perbualan telefon, kecuali untuk memaklumkan mengenai perjumpaan secara bersemuka.