SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan wujud ejen atau syarikat sering menggunakan taktik yang sama untuk cuba menyeludup masuk daging sejuk beku tidak halal ke negara ini.

Dua taktik utama yang dikesan Maqis ialah menerusi pengikraran palsu dan menyembunyikan daging di sebalik produk yang diluluskan oleh agensi itu.

Malah, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, syarikat yang terlibat dalam kegiatan penipuan itu turut menciplak label, pemalsuan cap serta menjalankan pembungkusan semula daging sejuk beku import.

Mendedahkan hal itu, Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, bagi pengikraran palsu, daging sejuk beku yang diimport masuk ke negara ini akan diikrarkan sebagai produk makanan, sayur-sayuran, buah-buahan atau pun ikan sejuk beku.

Menurut beliau, pemeriksaan akan dijalankan di setiap kontena yang disyaki mencurigakan.

“Melalui pemeriksaan dalam kontena, kebiasaannya penipuan akan terbongkar selepas pemeriksaan fizikal dilaksanakan, didapati terdapat produk daging sejuk beku yang dibawa masuk tanpa permit dan dokumentasi yang tidak lengkap,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagi helah menyembunyikan barang dagangan di bahagian dalam belakang kontena pula, pihak pengimport akan mengisytiharkan produk itu sebagai produk yang diluluskan seperti ikan sejuk beku.

Katanya, pemeriksaan awal akan dilaksanakan sebanyak 10 peratus, namun apabila terdapat sesuatu yang mencurigakan, pemeriksaan secara keseluruhan akan dilakukan.

“Kebiasaan kita akan menemui daging sejuk beku di bahagian belakang dalam kontena terbabit. Bahagian depan adalah produk yang sah, di belakang daging yang dipercayai masuk secara seludup.

“Maqis mempunyai kakitangan yang kompeten dalam melaksanakan rutin harian pemeriksaan kontena yang membawa masuk produk daging sejuk beku,” ujarnya.

Mohd Sobri memberitahu, pemeriksaan akan dijalankan secara terperinci termasuklah pemeriksaan dokumen pengimportan termasuk permit, sijil kesihatan dari Jabatan Veterinar Malaysia dan sijil halal.

Tambah beliau, pemeriksaan dan pengesahan lebih lanjut juga dilakukan termasuklah pengimbasan kod bar di label kotak daging sejuk beku terbabit bagi memastikan produk diimport itu dari loji penyembelihan yang disahkan sepertimana maklumat yang dinyatakan di dalam dokumen.


Campur daging babi

Kata Mohd Sobri, pemantauan rapi bagi mengelak insiden penipuan label, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import sentiasa dilaksanakan.

Jelasnya, berdasarkan kes yang direkodkan, tidak dinafikan terdapat campuran daging import yang tidak sah.

“Kita ada kesan daging lembu yang diimport ini dicampur dengan daging kerbau atau daging babi.

“Ini terbukti selepas ujian keputusan DNA (asid deoksiribonukleik) di makmal veterinar. Ini antara kes yang pernah dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, Maqis turut memeriksa bungkusan daging sejuk beku yang mempunyai dua label iaitu inner dan outer yang mempunyai maklumat berkaitan nombor loji sembelihan.

“Ini kerana, ada loji-loji penyembelihan di luar negara yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Veterinar Malaysia,” ujarnya.

Daging kerbau sejuk beku antara paling tinggi diseludup masuk ke Malaysia sejak 2020 hingga kini disebabkan faktor harganya yang murah.

Kebanyakan produk daging kerbau sejuk beku yang diseludup itu dipercayai diproses di beberapa loji sembelihan seperti di India yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Veterinar Malaysia dan dokumen pengimportan yang meragukan.


Rampasan daging seludup meningkat

Menurut Mohd Sobri, pihaknya mendapati terdapat peningkatan statistik berkaitan kes ini di Selangor sejak 2020 hingga Jun lalu.

“Pada 2020, sebanyak lapan kes dilaporkan membabitkan rampasan daging sejuk beku seberat 190,918 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM2.28 juta.

“Jumlah ini meningkat pada 2021, iaitu sebanyak 22 kes dilaporkan membabitkan rampasan daging sejuk beku seberat 255,537kg yang dianggarkan bernilai RM3.96 juta.

Bagi tempoh tahun ini setakat Jun, Maqis Selangor merekodkan jumlah rampasan RM5.22 juta dengan rampasan daging sejuk beku seberat 299,626 kilogram.

Mohd Sobri memberitahu, tangkapan turut dijalankan membabitkan ejen atau kakitangan serta pemilik syarikat yang mengimport produk tersebut.

“Kebiasaan antara alasan utama ejen selepas ditahan adalah tidak tahu dan pengimport akan saling menuding jari dengan ejen mereka itu,” katanya.

Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati ejen-ejen berkenaan hanya terlibat dalam urusan mengimport produk daging sejuk beku.

“Ejen tersebut didapati hanya membantu syarikat berkaitan dalam urusan mengimport produk termasuk pengurusan dokumen serta mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.


Daging seludup meragukan

Beliau berkata, setakat ini, kes yang dikenakan tindakan penguatkuasaan adalah dalam kalangan pemain industri yang berdaftar di Malaysia.

“Setakat ini tiada maklumat sama ada kegiatan penyeludupan ini didalangi oleh sindiket tempatan atau luar negara.

“Kita juga tiada maklumat bahawa ianya didalangi oleh mana-mana individu di kalangan orang kenamaan mahupun orang berpengaruh,” kata beliau.

Mohd Sobri berkata, aktiviti penyeludupan daging sejuk beku memberi kesan kepada negara jika ianya berleluasa dan tidak dibendung.

“Antara kesannya adalah kawalan bekalan import dan tempatan yang tidak seimbang, persaingan harga, kualiti produk yang meragukan dan jaminan halal,” katanya.

Mohd Sobri berkata, Maqis memainkan peranan besar dalam pemeriksaan produk pertanian dan makanan di pintu masuk negara khususnya di Pelabuhan Klang.

“Kita sentiasa mengingatkan anggota dan pegawai berkaitan kesan dan tindakan jika kita mengambil rasuah daripada pihak tertentu.

“Unit Integriti dan Pematuhan Standard sentiasa memantau anggota dan pegawai yang bertugas di pintu masuk negara,” jelas beliau.

Mohd Sobri berkata, pihaknya juga tiada maklumat terperinci berkaitan kewujudan elemen kongsi gelap di dalam kegiatan penyeludupan ini.

“Setakat ini, tiada ancaman daripada kongsi gelap, namun kita sentiasa berhadapan dengan cabaran lain antaranya sukar untuk mendapatkan kerjasama oleh pihak ejen dan pengimport semasa pegawai menjalankan tugas apabila dagangan mereka ditahan,” ujarnya.


Perkukuh kerjasama agensi

Jelas Mohd Sobri, pihaknya sentiasa menjalinkan kerjasama yang baik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan ke dalam negara.

“Terdapat banyak siri operasi bersepadu telah dijalankan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Mohd Sobri berkata, peruntukan undang-undang yang diguna pakai adalah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (AKTA 728).

“Kita turut menjalankan tindakan mengikut Seksyen 11 (1) Akta 728 kerana membawa masuk keluaran pertanian, ikan atau haiwan tanpa permit import yang sah daripada Maqis.

“Seksyen 11 (2) akta yang sama kerana mengeksport keluaran pertanian, ikan atau haiwan tanpa suatu permit yang sah,” katanya.

Selain daripada itu, Maqis juga menjalankan tindakan mengikut Seksyen 13 akta yang sama kerana melakukan pengisytiharan dokumen yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan pihak berkuasa.

“Tindakan juga boleh dilaksanakan mengikut Seksyen 14 di bawah akta yang sama iaitu mengimport keluaran atau produk pertanian, ikan atau haiwan yang dipercayai mempunyai, dengan membawa atau diserang serangga perosak, penyakit atau bahan cemar” katanya.

Mohd Sobri berkata, pihaknya juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15 akta yang sama iaitu gagal mematuhi syarat import dan eksport sepertimana yang dinyatakan dalam permit.

“Antara tindakan yang dikenakan adalah kompaun, denda dan pelupusan sepertimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan,” ujarnya.

Menurut Mohd Sobri, Maqis akan sentiasa menjalankan tugas pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi membendung dan seterusnya membanteras sebarang jenis aktiviti penyeludupan.

“Kita akan memastikan semua yang terlibat di dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang dibawa ke muka pengadilan.

“Kerjasama semua pihak seperti agensi penguatkuasaan lain di pintu masuk khususnya dan orang ramai amnya dalam menyalurkan maklumat dan terus menyokong Maqis amatlah dihargai,” katanya


Statistik kes berkaitan daging sejuk beku sejak 2020 sehingga Jun 2022

2020

- Jumlah kes 8

- Berat rampasan 190,918kg

- Nilai RM2.28 juta

2021

- Jumlah kes 22

- Berat rampasan 255,537kg

- Nilai RM3.96 juta

2022

- Jumlah kes 16

- Berat rampasan 299,626kg

- Nilai RM5.22 juta


15 Oktober 2022

Maqis rampas 4.5 tan daging kerbau sejuk beku dari India

Maqis Johor merampas 4.5 tan daging kerbau sejuk beku dari India kerana maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal yang mengelirukan.

Pengarahnya, Edie Putra Md Yusof berkata, ia hasil pemeriksaan yang dilakukan penguat kuasa Maqis produk ruminan tersebut di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang.

Hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan membawa 188 kotak produk ruminan iaitu daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM41,000.


14 Oktober

Maqis Pulau Pinang rampas 28 tan daging sejuk beku dari India

Maqis Pulau Pinang merampas 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000 kerana maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal dikeluarkan negara pengeksport mengelirukan.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, penguat kuasa MAQIS menjalankan pemeriksaan ke atas 1,167 kotak produk ruminan itu di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Rabu sebelum merampasnya untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan awal mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan maklumat mengelirukan iaitu maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat serta berbeza.


2 Mac 2022

Daging kerbau sejuk beku import dirampas

Sejumlah 24 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas Maqis di Pelabuhan Klang Barat.

Maqis Selangor berkata, pemeriksaan rutin pada jam 3.25 petang itu mendapati sebuah kontena membawa dagangan daging kerbau sejuk beku tidak mematuhi syarat permit import.

Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan sebagaimana syarat permit. -Sinar Harian