JOHOR BAHRU: Taktik menjadikan serbuk ekstasi seakan serbuk koko untuk mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya tumpas, dengan tertangkapnya lima lelaki tempatan dalam dua serbuan, Isnin lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kelima-lima lelaki berusia antara 17 hingga 31 tahun itu, ditahan menerusi serbuan di dua rumah sewa sekitar Iskandar Puteri antara pukul 4.00 hingga 4.30 pagi.

“Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan rumah sewa sebagai stor penyimpanan serta pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan sama ada kegunaan peribadi atau ke pusat hiburan.

“Kegiatan sindiket ini sudah aktif beroperasi sejak Julai tahun lepas. Mereka turut membungkus semula dadah ke dalam paket minuman berperisa. Pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.81 juta turut dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata dalam serbuan itu, polis merampas 23.68 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 997.4 gram ketamin, 193.5 gram ganja, 1,490 pil erimin 5 dan 41 pil ekstasi, serta pelbagai peralatan membungkus serbuk ekstasi selain dua kereta turut disita.

“Semua dadah ini boleh digunakan oleh 85,658 orang, jika ia terlepas ke pasaran. Hasil saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif ketamin, manakala hasil semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Kumar berkata kesemua mereka direman tujuh hari hingga esok, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seramai 780 individu termasuk tiga penjawat awam ditahan pihaknya, dalam operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan di seluruh negeri ini, bermula Isnin lepas hingga semalam.

“Tangkapan tersebut melibatkan mereka yang berusia lingkungan 18 hingga 70 tahun. Polis turut merampas pelbagai jenis dadah kira-kira 27kg yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

-- BERNAMA