KAJANG : Taktik sindiket dadah dengan berselindung di sebalik paket menyerupai bungkusan teh herba Cina untuk mengaburi polis akhirnya terbongkar selepas polis menahan dua lelaki di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bandar Mahkota Cheras, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, dengan penahanan itu, polis berjaya merampas dadah dipercayai methamphetamine dengan anggaran berat 1.3 kilogram bernilai hampir RM500,000.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan, bekalan dadah itu adalah untuk diedarkan kepada 'pelanggan' di sekitar Lembah Klang.

"Mengambil kira penggunaan harian sebanyak lima gram, dadah itu boleh dibekalkan kepada 26,520 penagih," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.










Ekoran itu Ahmad Jefferi berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 4.30 petang berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di but kereta Proton Persona, kita menjumpai satu beg kanvas bercorak bunga yang berisi 13 bungkusan teh Cina tertulis Guanyinwang, mengandungi dadah dipercayai methamphetamine," katanya.

Beliau menambah, pemeriksaan awal mendapati, kedua-dua suspek yang merupakan penganggur itu mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah.

"Kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 32 tahun itu kini ditahan reman enam hari sehingga 18 April," katanya.

Siasatan ke atas mereka ujarnya, dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.