Takut pada isteri tua merupakan salah satu punca berlakunya nikah ekspres melibatkan rakyat negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata lelaki yang ingin berpoligami disifatkan sebagai istimewa kerana mereka perlu mempunyai kemampuan dan berlaku adil.

Namun ketakutan suami untuk memaklumkan kepada isteri sedia ada akan niat berpoligami menyebabkan mereka mengambil jalan mudah berkahwin di luar negara.

"Proses berpoligami di negara ini adalah bila masuk Mahkamah Syariah, pemohon akan diberikan salinan dokumen yang perlu diserahkan kepada isteri pertama.

"Ini orang takut serta tak berani; bila tak berani, suami atau lelaki itu akan berkahwin ekspres di tempat lain (luar negara)," kata Musa sepertimana dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian Ke-85 'Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu', di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Menurutnya, dakwaan bahawa peguam syarie terlibat dalam sindiket kahwin ekspres tidak kukuh memandangkan tiada laporan terperinci butiran individu tersebut setakat ini.

"Dalam setengah keadaan, mungkin ada dalam kalangan orang yang jadi orang tengah. Mungkin juga ada bekas pegawai bekerja di bidang tersebut yang bersara buat perkara demikian.

"Kalau kita buat carian di Internet berkaitan kahwin Thailand, mereka yang menjadi ejen ini letak dalam pakej mereka bahawa dibantu peguam syarie dan ada juga dibantu oleh hakim syarie. Mereka letakkan dalam iklan bagi meyakinkan pelanggan," katanya.

Mengulas lanjut, Musa Awang berkata, apa yang membimbangkan adalah ia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan namun dibiarkan sahaja.

"Kita ada Enakmen Jenayah Syariah dan undang-undang bagi membendung isu ini," katanya.