SINGAPURA: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah mewujudkan inisiatif MyHeart Global Connect bagi memperkukuh agenda bakat negara.
Majlis penasihat global yang dianggotai 15 rakyat Malaysia di 10 negara itu dijangka memudah cara kerjasama antara kerajaan, industri dan diaspora Malaysia, selain mewujudkan peluang bimbingan serta perkongsian antarabangsa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, rakyat Malaysia di luar negara kekal sebagai sebahagian penting dalam ekosistem bakat negara, dan kerajaan mahu memanfaatkan kepakaran, pengalaman serta rangkaian global mereka bagi melengkapi pembangunan negara menerusi usaha nasional yang terselaras.
Ramanan berkata, TalentCorp telah dipertanggungjawabkan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia, perwakilan diplomatik Malaysia, rakan industri dan diaspora Malaysia bagi membentuk fasa seterusnya penglibatan diaspora.
Setakat ini, inisiatif MyHeart telah menghimpunkan lebih 31,000 rakyat Malaysia dari 144 negara, kata beliau.
"Menerusi MyHeart Global Connect, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh dunia akan berkongsi kepakaran, membimbing bakat muda kita, memperkukuh perkongsian antarabangsa, menghubungkan perniagaan dan membuka peluang baharu untuk Malaysia.
"Itulah bentuk hubungan yang ingin kita bina, iaitu hubungan yang berterusan dan mampu mewujudkan nilai kepada rakyat Malaysia di luar negara serta untuk Malaysia sendiri," katanya pada acara jaringan Salam Dari Malaysia @ Singapore pada Jumaat malam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi, Singapura kekal sebagai antara komuniti diaspora TalentCorp yang paling kukuh, dengan hampir 4,000 rakyat Malaysia berdaftar di platform MyHeart.
Beliau berkata, Singapura juga merupakan penyumbang terbesar permohonan di bawah Program Kepulangan Pakar TalentCorp.
Biruntha berkata, MyHeart Global Connect menyediakan platform kepada rakyat Malaysia di seluruh dunia untuk menyumbang idea baharu, perspektif global dan rangkaian yang membuka lebih banyak peluang kepada bakat serta institusi negara.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin.
-- BERNAMA