KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta badan kawal selia dan profesional berkaitan bagi menambah baik keseluruhan proses kepulangan profesional perubatan dan penjagaan kesihatan Malaysia di luar negara.
TalentCorp memaklumkan langkah itu selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya proses permohonan rakyat Malaysia di luar negara yang mahu kembali ke tanah air dan menyumbang kepakaran dalam sektor berkenaan diteliti secara menyeluruh.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, TalentCorp juga berhasrat untuk bekerjasama dengan KKM menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelarasan dan membolehkan proses yang lebih pantas serta cekap untuk semua pihak berkaitan.
“TalentCorp kekal komited untuk memudah cara kepulangan profesional Malaysia yang ingin kembali menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada negara, di samping memastikan keperluan profesional serta piawaian kawal selia yang ditetapkan terus dipatuhi,” menurut TalentCorp dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut TalentCorp, bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan yang memohon menerusi Program Kepulangan Pakar (REP), proses permohonan turut melibatkan keperluan pendaftaran profesional untuk membolehkan mereka menjalankan amalan perubatan di Malaysia.
Hal itu termasuk pendaftaran dengan MMC dan National Specialist Register (NSR), jika perlu.
Memandangkan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan tertakluk kepada kawal selia badan profesional, permohonan REP bagi kategori itu turut melalui penilaian teknikal tambahan menerusi Joint Working Committee for Healthcare Talent (JWC-HT) yang menghimpunkan TalentCorp, KKM, MMC serta badan kawal selia dan profesional kesihatan berkaitan.
Menurut kenyataan itu, permohonan REP yang lengkap bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan lazimnya diproses dalam tempoh sekitar 60 hari bekerja, tertakluk kepada jadual mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
Dalam tempoh berkenaan, TalentCorp akan menyemak permohonan dan dokumen sokongan bagi memastikan semua maklumat lengkap dan tepat sebelum dibawa ke peringkat penilaian serta keputusan.
Sejak REP dilaksanakan pada 2011, TalentCorp menerima 774 permohonan daripada profesional perubatan dan penjagaan kesihatan, dengan 495 permohonan diluluskan dan 351 pemohon telah kembali ke Malaysia.
Setakat Julai lepas, semua permohonan REP yang diterima bagi kategori berkenaan telah selesai diproses.
“Namun, sekiranya pendaftaran MMC atau NSR yang diperlukan masih dalam proses, permohonan yang memenuhi syarat REP yang lain masih boleh diteruskan untuk penilaian dan dipertimbangkan bagi kelulusan bersyarat.
“Kelulusan penuh serta manfaat di bawah REP hanya boleh diberikan setelah pendaftaran MMC dan NSR yang berkenaan diselesaikan dan bukti pendaftaran dikemukakan,” menurut kenyataan itu.
TalentCorp turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama KKM pada 22 Jun bagi meneliti proses REP untuk pegawai profesional perubatan dan penjagaan kesihatan serta memperkukuh penyelarasan antara pihak berkaitan.
Mesyuarat bersama anggota JWC-HT pula berlangsung pada Jumaat sebagai sebahagian usaha meneruskan penambahbaikan proses berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Anwar mengarahkan KESUMA meneliti permohonan doktor yang bertugas di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.
Fahmi berkata penelitian itu turut meliputi proses permohonan di bawah TalentCorp termasuk jumlah permohonan yang diluluskan dan ditolak, dan arahan berkenaan dibuat susulan beberapa isu yang dibangkitkan MMC kepada Perdana Menteri.
-- BERNAMA