LANGKAWI: Sebuah kapal layar yang hanyut selepas tali sauh terputus berjaya diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Langkawi pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pusat Operasi Mawila 3 TLDM memaklumkan sebuah kapal layar hanyut akibat terputus rantai sauh pada jam 8 pagi tadi.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi kemudiannya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari kapal layar terbabit.

“Kapal layar Puteri Mahsuri bersama empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda berada di atas kapal layar terbabit telah hanyut sejauh lebih kurang 60 batu nautika ke sempadan Malaysia-Thailand.

“Melalui sistem isyarat kecemasan yang diaktifkan nakhoda kapal layar itu, Pusat Operasi Mawila 3 TLDM telah menerima isyarat kedudukan kapal layar terbabit.

“KD Lekiu dalam operasi telah mengesan kapal layar itu pada jam 12 tengah hari dan memberi bantuan awal,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Romli berkata, kapal layar itu kemudiannya ditunda ke Jeti Langkawi untuk tindakan lanjut.

Justeru, katanya, Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca buruk seterusnya mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Sekiranya berlaku sebarang kecemasan orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 supaya tindakan awal dan pantas dapat diambil.