GEORGE TOWN: Para nelayan yang menyokong projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) kekal dengan pendirian mereka bahawa projek mega itu akan mendatangkan banyak manfaat kepada generasi akan datang dari segi meningkatkan taraf kehidupan dan menjana peluang pekerjaan.

Lye Phaik Soon, 56, yang bekerja sebagai nelayan di Teluk Kumbar berkata beliau telah menyokong projek ini sejak mula lagi kerana ia merupakan peluang yang baik untuk generasi muda mendapatkan pekerjaan yang tetap dan stabil seperti di sektor perkilangan.

"Apabila projek ini siap dan terbinanya kilang, ini sangat bermanfaat kepada anak muda kerana selain pendapatan terjamin, mereka juga dapat mencarum dalam EPF. Kalau mahu teruskan dengan pekerjaan nelayan, sudah tentu ada pasang surutnya dengan hasil laut yang tidak menentu.

"Tanpa bantuan kerajaan negeri seperti subsidi minyak diesel dan petrol serta bantuan pukat, agak susah untuk para nelayan meneruskan kehidupan ketika ini," katanya kepada Bernama.

PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan seluas 4,500 ekar dan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Lye, yang telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak itu berkata para nelayan yang menyatakan sokongan mereka terhadap Projek PSI seolah-olah akan 'dihukum' oleh ketua unit dan Persatuan Nelayan Kawasan dengan merumitkan proses pembaharuan lesen serta tidak mendapat bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan.

Mengalami nasib yang sama, Zazali Sirun, 55, berkata beliau bekerja sebagai tekong selama 20 tahun dan tidak pernah mengalami masalah dalam memperbaharui lesennya sehingga tahun ini selepas menyatakan sokongan terhadap Projek PSI.

"Lesen saya tamat tempoh 22 April 2023. Pihak unit dan persatuan enggan membantu saya memperbaharui lesen saya atas alasan saya sokong projek tambak laut. Salahkah saya menyokong projek kerajaan negeri sedangkan saya anak jati Pulau Pinang?

"Didakwa lebih 400 nelayan disenaraihitamkan oleh persatuan dan kami dinafikan daripada memperbaharui lesen. Tapi Alhamdulillah, pihak Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan telah membantu saya memperbaharui lesen dengan Jabatan Perikanan," katanya.

Beliau yang merupakan nelayan di kawasan Permatang Damar Laut, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri dalam usaha mereka menaik taraf nelayan di Pulau Pinang dengan memberi bot berukuran 27 kaki, enjin berkapasiti 90 kuasa kuda serta peralatan lengkap bernilai RM80,000 bagi setiap nelayan yang berdaftar.

Mengenai dakwaan projek tambak ini akan melenyapkan hasil laut dan memusnahkan terumbu karang, Zazali berkata kawasan tambak yang dirancang oleh kerajaan negeri tidak mempunyai terumbu karang semula jadi.

"Tiada satu pun terumbu karang semula jadi di kawasan tambakan ini. Saya harap masyarakat terutamanya komuniti nelayan tidak akan keliru dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan projek ini," katanya.

Sementara itu, Haris Abdullah, seorang nelayan berumur 63 tahun di kawasan Sungai Batu, berpegang kepada prinsip bahawa selagi ada arus, hidupan laut akan terus membiak dan tidak akan pupus.

Tambahnya bahagian selatan ini bukanlah projek tambak pertama di Pulau Pinang, malah, bahagian timur dan utara negeri telah ditambak terlebih dahulu namun tiada nelayan di kawasan terbabit mengeluh kehilangan punca pendapatan.

Bersetuju dengan sentimen ini, nelayan wanita Fajinah Jaafar, 62, mengimbau semasa Jambatan Kedua Pulau Pinang dirancang untuk didirikan di mana beliau merupakan salah seorang yang menolak projek tersebut atas alasan bakal mengganggu hidupan laut.

"Apabila jambatan didirikan, tiga tahun kemudian di kawasan itulah para nelayan boleh mendapat hasil yang tinggi terutamanya udang sehingga 30 kilogram. Kalau itulah contoh apabila jambatan didirikan, tidak mungkin lain kejadiannya apabila pulau dibina," katanya.

-- BERNAMA