Berkuat kuasa Januari tahun depan, kuasa untuk menetapkan harga tambang bas sekolah terletak pada persetujuan antara tiga pihak iaitu ibu bapa, sekolah dan pengendali bas, manakala Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hanya akan berperanan sebagai pemantau keadaan.

Pengerusi Spad, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pendekatan itu diambil setelah pihaknya bersetuju untuk menghentikan peraturan penetapan harga siling tambang bas sekolah yang terpakai terhadap pengendali bas sekolah selama ini.

"Melalui pendekatan baharu ini, terpulang kepada ibu bapa, pihak sekolah dan pengendali bas untuk berbincang mengenai kadar tambang yang dimahukan.

"Tetapi kita (SPAD) sebagai pemantau akan pastikan tiada pihak yang sewenang-wenang mengambil kesempatan mengenakan harga yang melampau.

"Jika ini berlaku, tindakan seperti membatalkan lesen operasi boleh dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Syed Hamid berharap menerusi pendekatan itu, isu kenaikan kadar tambang bas sekolah oleh kira-kira 15,000 pengendali bas sekolah yang sah di seluruh negara tidak timbul lagi.

"Sudah cukup sekadar untuk kita memberi mereka ruang menentukan kadar tambang. Kita telah memutuskan demikian setelah mengambil kira maklum balas pihak berkepentingan dan menilai kenaikan kos operasi seperti bahan api, penyelenggaraan, pembaikan serta barang ganti bas.

"Jadi tidak timbul lagi mengapa mereka (pengendali bas) masih hendak naikkan harga, semuanya sudah lengkap," jelas beliau.

Ditanya mengenai kelebihan lain menerusi langkah itu, Syed Hamid berkata pendekatan itu juga dijangka akan menarik lebih ramai pengendali bas terutama yang menjalankan perkhidmatan tanpa lesen untuk mendaftar dengan SPAD.

"Sebab utama mereka (pengendali bas) berbuat demikian ialah mereka mahu juga bersaing sengit untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada ibu bapa.

"Ibu bapa pula mempunyai kuasa untuk membuat penawaran serta menentukan kadar tambang mengikut jenis dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Ketika ini, Spad menganggarkan kira-kira 30,000 pengendali bas sekolah masih belum berdaftar dengan pihaknya di seluruh negara.

Syed Hamid berkata selari dengan pendekatan baharu itu, Skim Insurans Murid Sekolah juga turut diwujudkan bagi melindungi murid semasa menaiki bas sekolah.

"Buku Panduan SPAD mengenai keselamatan untuk pengendali bas sekolah juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebagai rujukan kepada setiap pengendali bas sekolah," katanya.