Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengarahkan supaya tanah rizab Melayu yang dibatal atau dibangunkan perlu diganti semula dengan nilai yang sama.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu mengikut undang-undang seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara 1965.

"Sehingga hari ini, kita bersyukur kita telah menggantikan tanah-tanah rizab Melayu di negeri Selangor. Malah, kita telah terlebih ganti sebanyak 650 ekar," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sembilan lembu korban sumbangan kerajaan negeri Selangor sempena sambutan aidiladha di perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

"Jadi kita memang memberi jaminan tanah-tanah rizab di negeri Selangor akan terus kekal dan mempunyai nilai yang baik untuk masa depan," katanya.

Azmin juga menjelaskan, ketika beliau mula-mula memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun lalu, sebanyak 4,000 ekar tanah rizab Melayu di negeri itu belum diganti.

Beliau mengulas mengenai cadangan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang bagi mewujudkan tribunal untuk kawal jual beli tanah rizab Melayu.