KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada individu dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor Darul Ehsan pada Jumaat lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap di Dewan Rakyat berkata, pihak penyelamat telah tiba di kawasan kejadian pada pukul 2.58 pagi, 35 minit selepas panggilan kecemasan diterima dan berjaya menyelamatkan mangsa pertama sejam selepas itu.

Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, amat terkesan dan sedih dengan kejadian yang melibatkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warganegara, termasuk kanak-kanak dan warga asing.

“Sehingga kini, seramai 61 mangsa telah berjaya ditemui dan sebanyak 24 mangsa telah dijumpai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi masih tidak dijumpai.

“Kerajaan juga telah umumkan bantuan segera kepada mangsa iaitu sebanyak RM1,000 kepada semua mangsa yang terselamat dan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia,” katanya lagi.

Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pegawai Daerah Hulu Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Komander Pos Kawalan Tempat Kejadian, Anwar berkata, hampir 700 anggota daripada 16 agensi kerajaan Persekutuan dan negeri terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

Justeru, kata Perdana Menteri, Dewan Rakyat merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat di Ground Zero.

“Utamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan juga pasukan khas yang terdiri daripada pasukan SMART, STORM, MUST, PGA dan pasukan unit khas K9.

“Turut terlibat agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, Telekom Malaysia dan lain-lain,” katanya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sembah takzim kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli meninjau pusat operasi.

“Begitu juga dengan rakan-rakan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dan semua yang telah turun padang memberikan khidmat kepada seluruh operasi,” katanya lagi.

Pihak Berkuasa Tempatan, kata Anwar, telah diarah untuk memantau dan mempertingkatkan keselamatan di tapak-tapak peranginan di negeri masing-masing.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Dewan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Nur Hilwa Edrea Binti Mohd Hariz Zaifan yang mati lemas akibat banjir di Terengganu.

Semua pihak, katanya lagi, dipohon berwaspada dan mengelakkan kawasan-kawasan berisiko tinggi ketika musim tengkujuh dan monsun ini.