SEMENYIH: Polis sudah merakam keterangan 53 individu bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali pada awal Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata selain pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan itu, pihaknya turut mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.

"...akan ada beberapa individu lagi yang dipanggil bagi membantu siasatan," katanya selepas merasmikan Balai Polis Semenyih di sini hari ini.

Arjunaidi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, Seksyen 290 Kanun Keseksaan menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menjalankan operasi tapak perkhemahan di lokasi projek pertanian tanpa lesen.

Beliau berkata pihaknya turut menubuhkan pasukan khusus di Hospital Sungai Buloh bagi membantu menyalurkan maklumat berkaitan tragedi itu kepada keluarga dan mangsa.

"Pasukan itu dianggotai seorang pegawai berpangkat ACP dan dibantu lapan anggota yang bertugas pada setiap syif," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah dilapor berkata pihaknya telah memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father's Organic Farm dan dua pekerjanya pada Sabtu lepas bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh yang setakat ini mengorbankan 24 nyawa.

Jumaat lepas, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tapak perkhemahan berkenaan diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

Dalam kejadian 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini memasuki hari kelima dan setakat ini, sembilan orang masih hilang dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

-- BERNAMA