SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM21.1 juta bagi pembaikan cerun berikutan hasil laporan bencana tanah runtuh Batang Kali yang dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan khas berhubung keputusan terkini kerajaan negeri pada Isnin berkata penambahan peruntukan bagi pembaikan cerun itu adalah hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya.

Katanya, garis panduan berhubung aktiviti perniagaan serta tapak perkemahan akan diusaha sama antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalankan aktiviti- aktiviti tersebut.

Media sebelum ini melaporkan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali pada 16 Dis 2022 itu melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m di laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Hulu Selangor.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR tinggalkan kesan mendalam kepada anggota penyelamat

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerja-kerja pengukuhan tebing di kawasan di Bukit Permai Fasa 2 di Ampang, dekat sini sedang dilaksanakan sementara menanti laporan penuh analisis daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat siap.

Tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, dekat sini pada Mac 2022 telah mengorbankan empat penduduk dan seorang mengalami cedera ringgan.

Dalam isu lain, Amirudin berkata penerima Program Skim Mesra Usia Emas layak memohon untuk bantuan Baucar Jom Shopping Perayaan memandangkan kos sara hidup yang agak menekan ketika ini.

"Secara keseluruhan, kerajaan negeri menganggarkan 82,400 penerima akan mendapat manfaat bagi program yang memperuntukkan sejumlah RM16.8 juta," katanya.

Bantuan Baucar Jom Shopping Perayaan merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri secara tahunan sejak 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Selain itu, Amirudin berkata program membaik pulih, menyelenggara serta menaik taraf fasiliti kemudahan awam di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diteruskan menerusi Projek Selangor Penyayang Fasa 2 dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap kawasan.

"Program ini akan bermula akhir Februari depan dan peruntukan ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di setiap DUN," katanya.

-- BERNAMA