KUALA LUMPUR : Siasatan polis mengenai tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Batang Kali, kini hampir 90 peratus lengkap.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed pada Selasa.

Tambah Arjunaidi, ketika ini hanya siasatan di lokasi kejadian, serta rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan Patologi dari Hospital Sungai Buloh belum diperolehi.

"Sehingga kini polis telah merakam keterangan daripada 77 orang saksi melibatkan mangsa yang cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan dan anggota pasukan penyelamat, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Selasa.

Mengulas mengenai kenderaan mangsa yang terperangkap dalam lokasi kejadian, tambah Arjunaidi, ia terpulang kepada pemilik untuk membawa keluar.

"Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan itu nanti untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan," katanya lagi.

Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Daripada jumlah mangsa yang maut, 18 merupakan mangsa dewasa manakala 13 lagi kanak-kanak.