KUALA LUMPUR: Bekalan air di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dekat Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku ditutup susulan kejadian tanah runtuh di pintu utama premis berkenaan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada Khamis memaklumkan tindakan itu bagi menghalang air mengalir ke kawasan terjejas akibat runtuhan tahan yang berlaku pada Selasa. 

"Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dengan menutup bekalan air ke premis terbabit.

"Langkah ini diambil bagi menghalang air daripada terus mengalir ke kawasan terjejas untuk membantu memudahkan siasatan oleh pihak berkuasa.

"Pada masa sama, kami juga telah memasang injap tambahan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kawasan yang terjejas merebak," kata Air Selangor dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Khamis.


 

Pada Selasa lalu, seramai 76 petugas pentadbiran MACA dan Institut Integriti Malaysia berdepan detik cemas berikutan berlaku runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, takungan air di sebelah pagar MACA dan paip pecah bawah tanah dipercayai menjadi antara punca kejadian berkenaan. 

Beberapa pakar yang ditemu bual Astro AWANI turut mendakwa ada kemungkinan paip pecah di bawah tanah menjadi antara faktor utama insiden berkenaan.