KUALA LUMPUR: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di cerun bukit melibatkan kawasan seluas 1,115 meter persegi berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Duta di sini, pada Selasa.

Menurut Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Yogeswaran Elangovan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.54 petang, yang melibatkan sebuah pondok keselamatan di bangunan berkenaan turut runtuh.

"Sebaik tiba, kita mendapati tanah runtuh berlaku di hadapan pintu masuk Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia dan meruntuhkan sebuah pondok pengawal keselamatan. 







"Justeru, kita mengarahkan 76 mangsa keluar dari bangunan berkenaan," katanya dalam kenyataan  di sini pada Selasa. 

Yogeswaran berkata, mereka yang diselamatkan adalah 38 orang terdiri daripada 17 lelaki dan 21 wanita dari bangunan Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia manakala masing-masing 19 lelaki dan wanita dari bangunan Integriti.

 Tambahnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati pergerakan tanah masih lagi berlaku yang dipercayai berpunca daripada paip pecah di bawah tanah. 

Katanya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya dan Air Selangor (Syabas) turut berada di lokasi untuk tindakan lanjut. 

Astro AWANI sedang mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden berkenaan.