NATIONAL
Tanah runtuh di Gua Musang: Laluan utama kini boleh dilalui - Ahmad Zahid

Laluan utama ke 26 buah kampung Orang Asli itu, telah dibersihkan dan kerja-kerja pembaikan awal sedang giat dijalankan. - Gambar/ FB Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob, Gua Musang yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Sabtu, kini boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Laluan utama yang terjejas akibat tanah runtuh kini boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan selepas kerja pembersihan dan pembaikan awal dijalankan.
- Timbalan Perdana Menteri mengarahkan laporan berkala dan tindakan segera oleh JAKOA serta agensi berkaitan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan lebih 2,000 penduduk Orang Asli yang terjejas.
- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah komited memastikan tiada komuniti desa, termasuk Orang Asli, terpinggir dalam situasi bencana, dengan 12 lokasi dikenal pasti mengalami hakisan dan kerosakan.
"Sebelum ini saya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengambil tindakan segera bersama agensi berkaitan, bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta memastikan laluan yang terjejas dapat dipulihkan secepat mungkin," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata kejadian tanah runtuh yang dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang mengakibatkan hakisan di lereng-lereng bukit serta jalan utama itu menjejaskan lebih 2,000 penduduk.
Ahmad Zahid berkata berdasarkan siasatan JAKOA Negeri Kelantan, sebanyak 12 lokasi telah dikenal pasti mengalami hakisan dan kerosakan.
Justeru, beliau menyatakan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan aksesibiliti masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi bencana alam yang tidak dijangka seperti ini.
Beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan memastikan tiada komuniti desa yang terpinggir daripada perhatian dan perlindungan kerajaan.
Semalam Bernama melaporkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli di dua penempatan terputus hubungan dengan dunia luar, selepas laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada Sabtu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami