KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berharap mangsa tanah runtuh di Kampung Sungai Penchala diberikan pusat penempatan sementara (PPS) yang lebih baik.

Katanya, beliau merayu kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mencarikan penempatan baharu untuk keluarga yang ditempatkan sebuah sekolah di Segambut.

"Saya rasa mangsa tak boleh (ditempatkan) dalam jangka panjang di sekolah ini.

"Kita akan usaha dan berbincang dengan beliau," katanya menerusi sesi Facebook Live ketika turun membantu mangsa terbabit.

PPS itu, yang menempatkan kira-kira 40 keluarga, menerima sumbangan 96 tilam oleh World Vision Malaysia, pada malam tadi.

"Ramai warga emas dan wanita hamil di sini, kalau tak ada tilam mereka kena tidur atas lantai.

"World Vision menghubungi saya untuk memberikan bantuan dan kini kita dapat tilam dari kualiti yang baik, lebih selesa untuk penduduk tidur," katanya.

Turut kelihatan hadir untuk memberi sumbangan adalah influencer yang berasal dari Korea Selatan, Ayana Jihye Moon.

"Saya bawa tudung untuk wanita, sumbangan Tudung People. Saya di sini kerana kagum dengan kerja-kerja yang dilakukan Hannah," katanya.

BACA: Tanah runtuh hempap 4 rumah di Sungai Penchala, warga emas tertimbus hingga paras pinggang

PPS itu juga turut menerima sumbangan pelitup muka dari Neutrovis, kerusi malas untuk digunakan warga emas, selain skuter kanak-kanak bagi membolehkan anak-anak di situ melakukan aktiviti yang menyeronokkan.

Kira-kira lapan rumah di Kampung Palembayan Sungai Penchala di sini terjejas akibat tanah runtuh dalam kejadian pada Sabtu malam.