PETALING JAYA: Empat buah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini, dilapor tertimbus dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Kejadian di Jalan Palimbayan Indah itu turut menyebabkan seorang warga emas tertimbus hingga ke paras pinggang.

BACA: 50 penduduk nyaris tertimbus tanah runtuh di Sungai Penchala

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin mengesahkan kejadian dan mangsa dilapor berjaya diselamatkan.

"Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan MERS999 pada jam 1.22 pagi telah menghantar jentera ke tempat kejadian."

Menurut Komander Operasi Kanan PgKB I Khairul Azuwan Bin Ibrahim, setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati berlaku kejadian tanah runtuh menghempap empat buah rumah kediaman.

"Seorang mangsa didapati tertimbus sehingga paras pinggang. Pasukan BOMBA berjaya mengeluarkan mangsa dengan selamat.

"Mangsa seorang wanita berumur lingkungan 70an mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dihantar ke PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) menggunakan EMRS BBP Taman Tun Dr Ismail," tulis kenyataan itu lagi.

Operasi turut disertai anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan PPUM.

Lokasi kejadian telah ditutup atas faktor keselamatan.